MAHKAMAH Tinggi hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk melepas tanpa membebaskan Najib Razak terhadap tiga tuduhan pengubahan wang dalam kes SRC International Bhd, untuk memastikan perbicaraan pertama bekas perdana menteri itu minggu depan berjalan dengan lancar.
Menurut Thomas, beliau akan memohon tiga tuduhan itu sebaliknya dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
“Untuk membantu mahkamah dan mengelakkan masalah kepada hakim untuk membuat keputusan mengenainya, saya mencadangan tidak perlu diteruskan tiga dakwaan tersebut di mahkamah ini.
““Saya akan mendakwa tertuduh dengan pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen nanti,” katanya.
Hakim Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan Najib dilepas tanpa dibebaskan. Belau berkata pendakwa raya mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan atau menolak untuk mendakwa pada mana-mana peringkat perbicaraan.
Beliau juga menolak usul yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan Najib yang diketuai oleh peguam Muhammd Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Februari sementara menunggu rayuan.
Hakim Nazlan juga memutuskan yang tujuh pertuduhan pengubahan wang haram ke atas Najib akan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi seperti yang dibenarkan di bawah Seksyen 417 (2) Di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Ini bertujuan untuk mempercepat proses undang-undang, kata hakim.
“Tujuh pertuduhan itu (didaftarkan di bawah kes berasingan) akan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi bagi mempercepatkan proses keadilan dalam kes ini.”
Beliau turut berkata pertuduhan lain terhadap Najib juga sudah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Najib kini berdepan 10 pertuduhan berkait SRC International melibatkan RM89 juta. SRC International adalah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 7 Februari, 2019.
Komen