SEJAK 3 Mei, Bandar Malaysia sekali lagi menjadi berita. Hampir enam tahun lalu, ia menjadi tajuk utama akhbar disebabkan pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi yang pernah menjadi lapangan terbang antarabangsa pertama Malaysia.
Banyak yang berlaku dalam tempoh enam tahun tetapi Bandar Malaysia menjadi bahagian paling penting bagi masa depan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan penyelesaian muktamad firma pelaburan negara yang dilanda skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas tapak lapangan terbang dan kemudiannya menjadi pangkalan udara bertukar menjadi pemangkin bagi infrastruktur dan ekonomi Perdana Menteri Najib Razak sejak 2009 yang bermula dengan potensi pelaburan dari Timur Tengah hinggalah akhirnya diperoleh dari China.
Pembangunan Bandar Malaysia
Pada 28 Mei 2011, Najib mengumumkan projek Bandar Malaysia, yang dibangunkan di bawah model perkongsian awam-swasta (PPP) dengan anggaran nilai kumulatif pembangunan kasar sebanyak RM150 bilion.
Pembangunan tanah seluas 197 hektar itu dimiliki unit hartanah 1MDB dan menjadi pembangunan berorientasikan transit, berasaskan penggunaan maksimum pengangkutan awam dengan terminal untuk projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura dan hab pengangkutan dengan sambungan kepada laluan MRT, Komuter KTM, keretapi ekspres dan 12 lebuh raya lain.
Bandar Malaysia dibayangkan sebagai bandar dalam bandar bertaraf dunia yang menawarkan perhubungan lancar, pengangkutan awam bersepadu yang pertama dengan komponen perniagaan dan gaya hidup, pelbagai jenis perumahan bandar dan hab perniagaan antarabangsa serta untuk industri kreatif.
Sebagai sebahagian daripada pembangunan semula, 1MDB menempatkan semula pangkalan udara Sungai Besi ke Sendayan bernilai RM2.7 bilion, termasuk RM1.1 bilion daripada Kementerian Kewangan (MoF) dan menaik taraf atau membangunkan tujuh pangkalan udara lain.
Hutang 1MDB dan penyelesaiannya
Bagaimanapun, 1MDB yang ditubuhkan pada 2009 semasa Najib mengambil alih jawatan, berdepan hutang RM42 bilion dan terpaksa menjual asetnya, termasuk Edra Energy dan tanah utama di Kuala Lumpur di bawah presiden baru dilantik Arul Kanda Kandasamy yang mengambil pada Januari 2015.
Semua asas pelan rasionalisasi hutang melibatkan “pertukaran hutang dan aset” dengan dana Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), penjualan ekuiti dalam Edra Energy, penjualan ekuiti di Bandar Malaysia, penjualan tanah pelan induk dalam TRX dan pelupusan aset bukan teras.
Urus niaga “pertukaran hutang dengan aset” bersama IPIC ditandatangani dahulu dan Edra Energy dijual dengan nilai RM9.83 bilion pada akhir 2015.
Pada hari terakhir 2015, 1MDB menandatangani urus niaga penjualan 60% kepentingannya dalam Bandar Malaysia dengan nilai RM7.41 bilion bersama konsortium China-Malaysia, Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Corporation Kejuruteraan (CREC ).
Bandar Malaysia Sdn Bhd adalah satu unit hartanah di bawah 1MDB, yang kemudiannya dinamakan TRX City Sdn Bhd. Konsortium IWH-CREC kemudiannya dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd (ICSB). Ini menjadi bahagian rasionalisasi ketiga dan terakhir hutang 1MDB.
Urus niaga gagal
Bagaimanapun, 1MDB memungkiri ikatannya tahun lalu, mencetuskan pertikaian dengan IPIC, yang membawa kepada tuntutan timbang tara di mahkamah London berjumlah AS$6.5 bilion.
Urus niaga Abu Dhabi, di mana 1MDB akan membayar AS$1.2 bilion dalam dua ansuran kepada IPIC menjelang akhir 2017, dengan Kementerian Kewangan bertanggunggjawab bagi semua faedah masa depan dan pembayaran pokok di bawah dua bon yang diterbitkan syarikat 1MDB.
Kedua-dua pihak akan meneruskan perbincangan sehingga Disember 2020 berkenaan AS$3.5 bilion yang dikaitkan dengan kedua-dua bon, dan tiada tindakan undang-undang diteruskan.
Penyelesaian itu menjadi urus niaga Bandar Malaysia dalam perhatian, kerana TRX City mengejutkan pasaran apabila ia mengisytiharkan pada 3 Mei perjanjian penjualan saham dengan ICSB dibatalkan.
TRX City juga mengembalikan deposit 10% berjumlah RM785.9 juta bagi pegangan Bandar Malaysia dan wang lain kepada ICSB pada 9 Mei. Ia menyebabkan bahagian akhir rasionalisasi hutang 1MDB kini tidak berjaya dilaksanakan.
Urus niaga baru Bandar Malaysia
Lawatan lima hari Najib ke Beijing kali ini terbukti tepat pada masanya untuk mendapatkan urus niaga baru bagi Bandar Malaysia dengan syarikat China yang lain.
Syarikat hartanah terbesar China, Dalian Wanda menyatakan minat untuk melabur sehingga AS$10 bilion sebagai pemaju induk bagi projek itu manakala CREC dilaporkan berminat walaupun urus niaga baru-baru ini digugurkan dengan rakan kongsi IWH.
The Malaysian Insight semalam melaporkan Putrajaya sedang mengkaji masalah Request of Proposal (RFP) yang mengambil masa sehingga tiga bulan bagi memastikan Bandar Malaysia diteruskan kali ini.
Difahamkan Najib memberi jaminan kepada China yang beliau akan memberi perhatian peribadi kepada projek utama, yang sebelum ini penjualan saham dikendalikan eksekutif 1MDB.
Urus niaga baru Bandar Malaysia lebih sekadar menampung baki kerugian 1MDB dan melengkapkan proses rasionalisasi hutang.
Kesan kegagalan urus niaga
Urus niaga penjualan saham dibatalkan dengan ICSB juga memberi beberapa kesan sampingan yang tidak diingini.
Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy digugurkan daripada lembaga pengarah Bandar Malaysia Sdn Bhd dan juga TRX City Sdn Bhd kerana “konflik kepentingan”, kata Putrajaya baru-baru ini.
Jawatankuasa Budiman yang ditubuhkan beliau dan Menteri Kewangan II Johari Ghani untuk mengendalikan urusan 1MDB dibubarkan dan kini diletakkan di bawah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.
Juga, liputan media Singapura mengenai pembatalan urus niaga Bandar Malaysia membangkitkan kemarahan Putraya.
Pegawai kerajaan Malaysia menganggap liputan itu sebagai bukti negara itu cuba merenggangkan hubungan antara Malaysia dan China, yang kini dilihat sebagai sebuah kuasa ekonomi dan ketenteraan di rantau ini. – 14 Mei, 2017.
Comments
Posted 9 years ago by Ali Along · Reply