TAFSIRAN ucapan dasar presiden Umno semalam bergantung kepada niat dan pandangan sendiri, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
“Ucapan dasar presiden semalam, (sentuh) banyak perkara. Seperti hala tuju, pentadbiran, dan pelbagai lagi.
“Ia bergantung kepada bagaimana kita melihatnya. Kalau kita nawaitu yang positif, kita akan nampak yang positif. Kalau nawaitu negatif, kita nampak negatif,” katanya ketika melakukan lawatan ke Pusat Media, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.
Sebelum ini, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendapat, ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak jelas dan gagal memberi fokus terhadap hala tuju parti.
Kritikan itu bukanlah kali pertama dilontarkan Khairy kepada Zahid. Sebelum ini, beliau turut menyalahkan Zahid dalam kes Mustapa Mohamed yang keluar parti, menyifatkannya kegagalan hala tuju presiden apabila “mesra” dengan PAS.
Bagaimanapun, ucapan dasar Zahid itu dibela perwakilan Umno Wilayah Persekutuan Tun Faisal Ismail Aziz yang juga bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), menganggap kritikan itu tidak boleh diterima kerana datang daripada mereka yang tidak hadir permukiman parti.
Tun Faisal mendakwa, kebanyakan hala tuju yang dinyatakan dalam ucapan dasar presiden sudah pun dibincangkan pada permukiman tersebut.
Permukiman yang dijalankan selama dua hari itu dihadiri kepimpinan pusat parti, ketua bahagian serta wakil rakyat Umno untuk membincangkan gerak kerja parti selaku pembangkang.
Khairy tidak hadir permukiman tersebut.
“Apabila pemimpin bahagian, anggota Parlimen berkenaan tidak hadir tapi mempersoalkan hal tuju parti melalui media. Saya tak setuju dengan tindakan seperti itu,” kata Tun Faisal.
Zahid dalam ucapan penggulungan petang tadi secara sinis turut menyindir kritikan tersebut, berkata yang beliau sentiasa lapang untuk ditemui di pejabat sekiranya ada pandangan yang ingin diberikan.
Beliau turut menambah yang selaku ketua parti, beliau terbuka meraikan perbezaan pandangan asalkan dalam had dan dibincangkan dengan bijaksana.
“Pintu saya sentiasa terbuka, pintu pejabat terbuka. Tak payah buat appointment (temu janji) kalau saya tahu, ingin memberikan lontaran pandangan.
“Datang ke pejabat saya di Tingkat 38 PWTC, bila-bila masa.” – 30 September, 2018.
Komen