Jangan kritik Zahid kalau tak datang permukiman, kata Tun Faisal


SM Amin

Jelas bekas pengarah bahagian komunikasi strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz, kebanyakkan yang diutarakan oleh Zahid Hamidi semalam merupakan hala tuju yang telah dibincangkan dalam pemukiman Umno bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2018.

TINDAKAN pemimpin Umno tertentu mengkritik ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sesuatu yang tidak boleh diterima kata perwakilan Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz.

Lebih malang kata Tun Faisal, kritikan itu datang daripada pimpinan yang sepatutnya hadir dalam pemukiman Umno di Janda Baik yang diadakan bagi membincangkan hala tuju parti.

Jelas bekas pengarah bahagian komunikasi strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu, kebanyakkan yang diutarakan oleh Zahid merupakan hala tuju yang telah dibincangkan dalam pemukiman Umno bulan lalu.

“Saya tak boleh terima apabila yang mengkritik hala tuju presiden adalah dari kalangan yang tidak hadir (pemukiman) dan memberikan pandangan.

“Apabila pemimpin bahagian, anggota Parlimen berkenaan tidak hadir tapi mempersoalkan hal tuju parti melalui media. Saya tak setuju dengan tindakan seperti itu,” katanya tanpa menamakan pemimpin tersebut ketika membahaskan usul di Perhimpunan Agung Umno.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin antara yang mengkritik ucapan dasar Zahid dan menyifatkan ucapan itu masih tidak menjelaskan hala tuju parti yang ditunggu-tunggu oleh ahli di bawah.

Pemukiman Umno selama dua hari itu dihadiri pimpinan pusat parti termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, ketua-ketua bahagian dan ahli parlimen Umno bagi membincangkan gerak kerja parti sebagai pembangkang dan tawaran baru kepada rakyat. 

Khairy bagaimanapun tidak hadir dalam pemukiman tersebut.

Selain daripada itu turut dibentangkan cadangan supaya wujud pemisahan kuasa di mana presiden parti tidak semestinya dilantik menjadi ketua pembangkang atau perdana menteri jika Umno menang pada masa akan datang.

Umno juga akan melaksanakan pemutihan ahli selepas mendapati terdapat ahli-ahli dalam PRU14 yang lalu secara terbuka menyokong Pakatan Harapan.

Perkara-perkara tersebut telah dibangkitkan oleh Zahid dalam ucapan dasarnya semalam ketika perasmian Perhimpunan Agung Umno 2018.

Tun Faisal dalam ucapannya turut meminta supaya perwakilan dan ahli menjaga adab dalam mengutarakan perbezaan pandangan dan bekerja sebagai satu pasukan.

“Ada orang, bila kalah, hari pertama lagi dah menyalahkan pasukan dan menyalahkan anggota pasukan. Ada orang bila kita kalah dia meninggalkan pasukan, di waktu pasukan memerlukan khidmatnya. 

“Cara kita bertindak selepas kalah menunjukkan siapa diri sebenar kita, sama ada kita pemimpin yg baik, atau pemimpin yang hanya hendak melepaskan tengkuk kita sendiri, ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing2. 

“Cara kita bertindak menunjukkan samada kita pemimpin yg benar2 ada semangat setiakawan ataupun kita pemimpin yg khianat, ibarat api dalam sekam, duri dalam daging atau musang berbulu ayam,” ujarnya. – 30 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen