Sarkas Port Dickson


Izmil Amri

Kebarangkalian Anwar Ibrahim menang di Pilihan Raya Kecil "Sarkas" Port Dickson sangat tinggi, dibandingkan dengan calon lain beliau sudah diangkat calon perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 September, 2018.

MEMINJAM dialog siri anime popular, Dragon Ball: “Yang sebenarnya, calon PRK Port Dickson, ada tujuh biji kesemuanya.”

Penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson hari Sabtu lalu menyaksikan Anwar Ibrahim berhadapan cabaran tujuh penjuru. Antaranya termasuklah mantan menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad dan mantan pegawai pejabat Anwar sendiri, Saiful Bukhari Azlan. Kedua-duanya tampil sebagai calon bebas.

Selain dua itu, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong atau lebih dikenali sebagai “YouTiup” sebelum menukar nama Twitternya itu menjadi “tapaimalaya”, turut menjadi calon bebas dalam PRK yang diadakan demi menghantar Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Dua lagi calon bebas, tak ada siapa kenal.

Gerombolan pembangkang pula nampaknya bertawakal habis dengan mempertaruhkan Mohd Nazari Mokhtar, mantan calon PAS dalam PRU14 yang kalah teruk di DUN Panti, Johor.

Nazari hanya berjaya meraih 2,071 undi berbanding lawannya dari Umno, Hahasrin Hashim yang memperolehi 11,409 undi. Dengan peratusan undi sekadar 8%, Nazari bukan sahaja terlungkup di Panti, malah hilang wang depositnya.

Pun begitu, PAS (barangkali dengan restu Umno) masih punya keyakinan tinggi untuk meletakkan calon yang memakai klip tali leher di poket ini sebagai cabaran kepada mantan timbalan perdana menteri yang juga perdana menteri menunggu.

Umno pula sebaliknya tidak mahu bertanding di PD, mengenepikan peluang untuk merapatkan barisan partinya yang sedang caca marba.

Maka tiada lain yang boleh kita ucapkan kepada pasangan pengantin baharu Umno-PAS ini selain “jangan masuk tidur dalam keadaan marah”. Semoga kekal ke anak cucu. Tidak perlu kita membazir masa memikirkan situasi politik kedua-dua parti ini sehinggalah rumah tangga mereka tersusun rapi.

Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang berlaku kerana wakil rakyat mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada ketuanya, tak ubah seperti sarkah demokrasi Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 September, 2018.

Mahu Kasi Chan?

Bagi saya, perkara yang wajar diberi perhatian ialah kempen Stevie Chan yang muncul paling awal menyatakan cabaran terhadap Anwar. Kesanggupannya menentang Anwar itu barangkali muncul daripada rasa tidak puas hati bagaimana sebuah kerusi Parlimen boleh dikosongkan sesuka hati.

Ini bukan kali pertama kerusi wakil rakyat dikosongkan bagi memberi laluan kepada konvoi politik Anwar. Seperti konvoi menteri membelah kesesakan lalu lintas mohon kenderaan menteri diberi laluan. Kalau terlalu kerap, orang akan naik menyampah.

Maka Chan pun muncul melawan, dengan membawa slogan “Kasi Chan”, memohon peluang dan ruang untuk menjadi wakil rakyat kepada warga pengundi Pelabuhan Dickson.

Kempen Chan ialah kempen yang boleh kita namakan sebagai kempen aktivis. Kempen yang akhirnya nanti akan jadi tidak tentu hala. Sebabnya, beliau sendiri barangkali tidak pasti siapakah khalayak sebenar kempennya itu, selain tidak nampak apakah mesej sebenar yang ingin beliau sampaikan.

Jika tujuan Chan ialah untuk menarik perhatian negara terhadap percaturan politik yang bertentangan dengan semangat Malaysia Baharu, beliau sewajarnya terlebih dahulu mengakui hakikat itu dan menyatakan dengan jelas bahawa: Saya bertanding untuk kalah, demi memperingatkan apa yang ahli politik Pakatan Harapan sudah kian lupa.

Khalayak Chan justeru bukan pengundi Port Dickson, tetapi seluruh warga Malaysia. Mesej Chan yang sebenar adalah mesej sejagat, supaya mandat rakyat dihormati dan bukan dilayan seperti baton acara lari berganti-ganti.

Stevie Chan, bintang media sosial yang memutuskan untuk bertanding di PRK Port Dickson. Adakah pengundi setempat akan kasi chan kepadanya? – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2018.

Chan malah tidak perlu pening buat manifesto. Hanya perlu duduk setempat, buat sidang media setiap hari dengan mengetengahkan masalah-masalah yang tidak selesai dan janji-janji yang belum langsai. Kempen Chan seharusnya jadi kempen media, untuk tontonan seluruh negara.

Malangnya Chan kelihatan benar-benar mahu jadi wakil rakyat. Maka kempennya pun jadi kempen wakil rakyat. Bersalaman, mendukung anak kecil, edar risalah, ziarah orang sakit dan segala yang sewaktu dengannya. Kempen ala Malaysia Lama.

Pengundi Port Dickson hampir pasti tidak akan kasi chan pada beliau. Baiklah beri peluang kepada bakal perdana menteri.

Mandat minima

Demokrasi adalah proses yang bising. Dengan pertembungan tujuh penjuru di PD ini, langkah politik mengosongkan kerusi untuk menghantar Anwar ke Parlimen dan seterusnya ke Kabinet akan menjadi sebuah pesta yang meriah.

Seperti sebuah sarkas, siap dengan pertunjukan badutnya. Tinggal tak ada anjing laut bertepuk sambil mengimbang bola di hidung saja.

Kita sudah pernah bertanya bagaimana seorang bakal perdana menteri akan kembali ke Dewan Rakyat dengan legitimasi minimum di tengah-tengah lelah politik yang belum lega. Namun hakikatnya itulah yang akan terjadi.

Anwar akan kembali ke Parlimen pada pertengahan Oktober nanti dengan mandat minimum. Peratus keluar mengundi rendah. Penyokong Isa Samad akan mengundi Isa Samad. Pembenci dan mereka yang percaya dengan fitnah liwat terhadapnya akan mengundi Saiful Bukhari. Kader PAS akan mengundi PAS.

Pengundi luar yang hidungnya melekat di media sosial mungkin akan mengundi Chan. Dua calon bebas yang orang tak kenal akan menerima undi sanak saudara dan kenalan terdekat. Selebihnya tidak keluar mengundi.

Mandat minimum itulah nanti yang akan membawa Anwar ke Dewan Rakyat, mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen, dan cuba bersabar sebagai anggota penyokong kerajaan sambil menanti kuasa di bendul Jabatan Perdana Menteri.

Inilah dia demokrasi tuan-tuan dan puan-puan. Macam sarkas. – 1 Oktober, 2018.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen