UMNO menugaskan bekas setiausaha agungnya Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan semula aset daripada penamanya, kata Ahmad Zahid Hamidi.
“Majlis Tertinggi memberikan saya mandat untuk melantik Tengku Adnan mendapatkan semula aset kami,” kata Zahid ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2018 hari ini.
Presiden Umno itu bagaimanapun menafikan terdapat “berbilion” aset.
“Saya dah lihat aset dan liabiliti tetapi ia tidak sebanyak itu,” kata pemimpin berusia 65 tahun itu.
“Ada tanggapan yang Umno ada ‘berbilion’ tetapi saya sudah tengok laporan aset dan liabiliti daripada CEO syarikat dan pemegang amanah dan kita tidak ada sebanyak itu.
“Tetapi masih ada sesuatu.”
Bagaimanapun, Zahid berkata ada sebilangan pemegang amanah yang mendakwa aset tersebut milik mereka dan bukannya Umno.
“Umno akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula aset tersebut, itu keutamaan parti,” katanya.
Jun lalu, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas bendahari Umno berkata parti itu mempunyai aset di kawasan utama seluruh negara.
Katanya, hartanah itu bernilai berbilion ringgit yang dibeli pada 1960-an yang boleh dijual untuk membiayai aktiviti parti. – 30 September, 2018
Komen