GELAGAT seorang ahli Wanita Umno yang berlegar-legar dengan memakai baju bertulis ‘Lokap SRPM’ mencuri perhatian pemerhati di Perhimpunan Agung Umno 2018.
Baju berkenaan mirip dengan baju untuk tahanan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun ditambah dengan slogan bantahan.
Di bahagian hadapan baju itu diterakan slogan “Laskar Jihad” dan “Saya lebih rela menyarung baju ini dari meninggalkan perjuangan”.
Di bahagian belakangnya pula diterakan slogan “Biar jasad terpenjara, namun jiwa tetap merdeka.”
Masurana Samian, 56, berkata beliau bertindak demikian untuk mendesak pihak berkuasa agar tidak menyalahguna kuasa dan menuntut siasatan adil terhadap Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.
Bekas pengerusi Tabung Haji itu kini ditahan reman oleh Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan terhadap kes rasuah.
“Kita akan memperjuangkan kebenaran. Ini makcik tuju pada semua termasuk SPRM jangan salahguna kuasa. Jangan pilih kasih,” kata ahli Wanita Umno cawangan Sri Gading, Johor itu.
Katanya, beliau bernasib baik kerana berpeluang membeli baju terakhir itu dengan harga RM20 di sebuah gerai di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra.
“Ini baju terakhir. Jadi ada orang tawar nak beli (dengan harga) RM200 tapi makcik tak mahu,” katanya yang datang bersama 38 pemerhati rombongan dari Batu Pahat.

Kempen untuk memakai baju tersebut mula digerakkan pada Jumaat lalu apabila Azeez dibawa ke mahkamah untuk direman dengan bergari serta memakai baju lokap SPRM berwarna jingga.
Azeez mendakwa, beliau digari dan dipakaikan baju lokap tersebut kerana cekal untuk terus kekal di dalam parti Umno.
“Inilah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah perjuangan. Jika saya telah keluar dari Umno minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini, berbaju lokap SPRM dan bergari.
“Namun walau apa pun dugaan atau rintangan atau ugutan yang datang,hatta ke penjara sekalipun saya tetap tidak akan meninggalkan perjuangan parti keramat Umno ini,” katanya. – 30 September, 2018.
Komen