Azeez dakwa dimalukan sebab mahu kekal dalam Umno


Ahli Parlimen Baling Azeez Rahim berkata walaupun dimalukan dengan cara penangkapannya, beliau tetap akan terus kekal dalam parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September 26, 2018.

ABDUL Azeez Abdul Rahim mendakwa beliau ditahan reman untuk siasatan kes rasuah dan dimalukan dengan bergari serta baju lokap kerana cekal untuk terus kekal di dalam parti Umno.

Bekas pengerusi Tabung Haji itu berkata walaupun diperlakukan sebegitu beliau tetap akan terus kekal dalam parti.

“Inilah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah perjuangan. Jika saya telah keluar dari Umno minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini, berbaju lokap SPRM dan bergari. 

“Namun walau apa pun dugaan atau rintangan atau ugutan yang datang,hatta ke penjara sekalipun saya tetap tidak akan meninggalkan perjuangan parti keramat Umno ini,” katanya.

Abdul Azeez direman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah semalam bagi siasatan ke atas beberapa kes rasuah melibatkan Tabung Haji.

Majistret Shah Wira Abd Halim juga membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menahan reman abang Abdul Azeez, Abdul Latiff dan sepupu mereka, Mohamed Nazri selama empat hari.

Ketiga-tiganya semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan bergari.

Kenyataan Abdul Azeez itu juga menyindir pemimpin Umno yang keluar parti kerana didakwa tidak tahan dengan tekanan semenjak parti berkenaan kalah pilihan raya umum 9 Mei.

Lima ahli Parlimen Umno keluar parti sejak pilihan raya umum tersebut, termasuk dua ahli Parlimen veteran Umno, Mustapa Mohamed dan Anifah Aman yang meninggalkan parti bulan ini.– 26 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen