SISTEM pengundian secara elektronik yang diteruskan di Johor hari ini sepatutnya berjalan dengan lancar seperti jaminan Jawatankuasa Pemilihan Parti, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.
Zuraida memberitahu The Malaysian Insight, parti memutuskan untuk meneruskan sistem e-voting itu memandangkan JPP memberi jaminan pengundian akan berjalan lancar hari ini.
“Dalam mesyuarat biro politik yang kita bincangkan (25 September) semua perkara yang tidak memuaskan hati dari segi e-voting itu kita telah suarakan tapi pihak JPP yang turut dalam mesyuarat mengatakan semua perkara yang kita bangkit boleh diatasi.
“Jadi atas dasar itu kita pun bersetuju untuk teruskan untuk adakan pemilihan 30hb di Johor. Jadi saya amat berharap apa yang dijanjikan itu dapat dipenuhi,” katanya.
Pada 22 September lalu, JPP membatalkan keputusan di Kedah selepas sembilan cabang parti menghadapi masalah dalam pengundian. Proses pemilihan PKR di Perak dan Perlis turut ditunda.
Perkara yang dibangkitkan calon antaranya JPP tidak cukup tenaga kerja, peralatan tablet serta sistem pengundian tidak stabil di kawasan pedalaman.
Sistem e-voting itu juga didakwa tergendala, dan terdapat penyokong campur tangan sewaktu pengundian dijalankan selain anggota terpaksa menunggu berjam-jam untuk mengundi.
Perkara berkenaan mencetuskan kekecohan dan pergaduhan di beberapa cabang di Kedah dan adegan baling kerusi di Pulau Pinang.
Individu terbabit bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan keputusan parti pada 25 September yang meneruskan pengundian E-voting.
Zuraida berkata anggota yang masih tidak berpuas hati dengan dakwaan kes penipuan atau ketidakadilan tersebut boleh memanjangkannya kepada pemimpin tinggi.
“Sekiranya aduan yang kuat yang berasas dan boleh membatalkan boleh pemilihan itu sepatutnya boleh (disemak),” kata ahli Parlimen Ampang itu.
Zuraida juga menasihat setiap calon untuk menjaga penyokong mereka agar kejadian baling kerusi tidak berulang.
“Mereka yang bertanding itu harus mengawal penyokong masing dan berikan taklimat pada mereka. Walau apapun kita haruskan jalankan (pemilihan) dengan aman dengan profesional.
“Ada aduan kita buat cara aduan, (kalau) tak puas hati kita buat pada cara yang betul. Tak payah hendak bergaduh dan sebagainya,” katanya lagi.
Seramai 53 calon juga akan merebut jawatan ketua cabang manakala seramai 163 calon menawarkan diri bertanding timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan anggota jawatankuasa cabang.
Antara saingan sengit bagi jawatan ketua cabang adalah di Gelang Patah yang menyaksikan pertembungan lima penjuru, empat penjuru di Simpang Renggam dan tiga penjuru di Labis, Pagoh, Bakri, Sembrong dan Kulai.
Tiga calon ketua cabang dilaporkan sudah menang tanpa bertanding di Ayer Hitam, Pengerang dan Tenggara.
Pemilihan melibatkan 38,684 anggota PKR Johor yang layak mengundi hari ini dijalankan serentak di semua 24 cabang dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.
Keputusan dijangka dapat diketahui selewat-lewatnya pukul 9 malam. – 30 September, 2018
Komen