Pemilihan PKR bertukar huru-hara, keputusan di Kedah diisytihar tidak sah


Aksi lontar kerusi memburukkan lagi keadaan selepas sidang media JPP berkenaan pemilihan PKR di Kedah dan Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

JAWATANKUASA Pemilihan Parti (JPP) mengisytiharkan keputusan pemilihan PKR di Kedah sebagai tidak sah selepas sembilan cabang parti itu gagal meneruskan sesi pengundian menggunakan sistem e-voting yang pertama kali digunakan bagi pemilihan PKR.

Selain itu, JPP mengisytiharkan proses pemilihan PKR di Perak dan Perlis turut ditunda.

Tarikh baharu pemilihan akan dimaklumkan kemudian bagi ketiga-tiga negeri terbabit.

Pengundian akan diteruskan mengikut jadual untuk negeri-negeri lain selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 30 September.

Bagaimanapun JPP berkata pihaknya menerima keputusan pemilihan di Pulau Pinang walaupun wujud beberapa masalah.

“Kami menerima keputusan daripada kesemua 13 cabang PKR di Pulau Pinang. Tiada sebarang perubahan melainkan terdapat bantahan rasmi,” kata setiausaha JPP Ismail Yusop pada sidang media di Safira Country Club, Seberang Jaya malam ini.

Pengumuman itu turut mencetuskan kemarahan sekumpulan besar ahli PKR Pulau Pinang yang tidak gembira dengan cara proses e-voting dikendalikan.

Pengerusi JPP Rashid Din (dua kanan) dan setiausahanya, Ismail Yusop (dua kiri) pada sidang media berkenaan pemilihan PKR yang berlangsung di Kedah dan Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

Terdapat banyak masalah teknikal dan kes nama ahli hilang daripada senarai pengundi.

“Batal, batal!” kedengaran laungan ahli yang tidak berpuas hati ketika sidang media diadakan. 

Ismail berkata ahli yang tidak berpuas hati boleh memfailkan bantahan kepada JPP.

Terdahulu, beliau mengakui terdapat beberapa isu ketika proses pengundian berlangsung di pusat undi.

Katanya, JPP mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan masalah pengundian di Pulau Pinang dan Kedah.

Satu daripadanya adalah jumlah kehadiran yang di luar jangkaan JPP, katanya.

“Terdapat beberapa salah faham tentang sistem e-voting yang baharu dalam kalangan petugas pengundian yang kesemuanya sukarelawan dan begitu juga dengan ahli parti yang sudah menjalani latihan simulasi bersama JPP.

“Berlaku kekurangan daripada segi sokongan teknikal di pusat pengundian, sekali gus mencetuskan penangguhan dan keletihan dalam kalangan ahli.

Segelintir ahli PKR menimbulkan kekecohan pada sidang media JPP berkenaan pemilihan PKR yang berlangsung di Kedah dan Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

“Berlaku juga kekeliruan di beberapa pusat pengundian berhubung status segelintir ahli. Ini disebabkan setiap ahli pertama kali mengundi menggunakan sistem ini dan proses pemeriksaan nama tidak berjalan lancar. Terlalu ramai ahli untuk dikendalikan,” katanya.

Bagaimanapun beliau menafikan masalah tersebut berpunca daripada sistem e-voting, sebaliknya berkata sistem itu beroperasi dengan baik sepanjang hari.

Penjelasan JPP dan pengumuman untuk membatalkan keputusan pemilihan di Kedah tetapi menerima keputusan di Pulau Pinang gagal meredakan kemarahan ahli yang mendesak agar keputusan di Pulau Pinang dibatalkan juga.

Ketegangan memuncak ketika Ismail dan pengerusi JPP meninggalkan bilik sidang media sehingga terpaksa diiringi keluar oleh pengawal peribadi.

Pergelutan turut tercetus apabila ahli yang tidak berpuas hati melaungkan “batal” kepada mereka dan ada di antara ahli cuba menghalang pintu.

Ketika kekecohan itu, ada pihak melontar kerusi sehingga menyebabkan seorang ahli mengalami kecederaan kecil. – 22 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen