IA akan mengambil masa selama 13 tahun bagi Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk ditubuhkan kerana terdapat banyak tentangan daripada polis, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
“Mereka kurang selesa. Terdapat bantahan kuat daripada pihak polis yang menjadi punca mengapa ia tidak dikuatkuasakan sebelum ini.
“Mereka fikir ia tidak adil memberi fokus kepada polis dan tindakan diambil terhadap mereka hanya kerana masyarakat berpendapat mereka tidak bersih,” kata Muhyiddin, sambil menambah ia adalah persepsi yang salah.
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu berkata butiran suruhanjaya itu akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.
“IPCMC akan menjadi suruhanjaya. Akan ada undang-undang spesifik. Ini akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi,” katanya, sambil menambah di peringkat kementerian, ia berada di peringkat akhir untuk mempersiapkan pelaksanaannya.
The Malaysian Insight melaporkan minggu lepas polis teragak-agak dengan penubuhan IPCMC walaupun idea itu sudah diperkatakan 13 tahun lalu.
Sama ada IPCMC akan mempunyai kuasa pendakwaan untuk mengenakan pendakwaan, Muhyiddin berkata butirannya yang akan dibentangkan di Parlimen.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan IPCMC akan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), yang ditubuhkan oleh pentadbiran Barisan Nasional.
IPCMC akan menjadi badan bebas bagi mengkaji aduan polis secara holistik, kata Dr Mahathir.
Pada 2004, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mengkaji kritikan terhadap polis berhubung peningkatan insiden jenayah dan kematian tahanan.
Mandat RCI adalah untuk mengkaji dan mengesyorkan langkah untuk meningkatkan kecekapan polis serta menjadikan entiti itu lebih dihormati dan digeruni sebagai sebuah badan penguatkuasaan.
Pada November 2005, RCI membuat 125 cadangan dan mencadangkan penubuhan IPCMC untuk menyiasat kesilapan polis dan mengambil tindakan disiplin. – 27 September, 2018.
Komen