MENGURUS masyarakat ibarat mengurus lautan pemikiran manusia. Semua kelompok – konservatif, liberal, moderat bahkan yang mengaku pendukung Islam Ikhwan – masing-masing berebut menampilkan tafsiran Islam yang dirasakan paling benar.
Meskipun label tersebut berlegar di tengah-tengah kebudayaan, seseorang pasti memilih ideologi yang dianggap paling diyakininya benar, lazimnya dipengaruhi latar kehidupan, yang akhirnya membentuk cara pandang seorang muslim.
Masalah tersebut antara yang digeluti selepas 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Kerajaan terus didesak dan digugat dalam hal agama terutama dalam konteks orang Melayu Islam. Bagaimana kerajaan khususnya menteri agama menguruskan prinsip “Rahmatan lil alamin”, contohnya dalam konteks polemik LGBT dan isu kebebasan – antara isu yang sensitif.
Bagi kelompok konservatif, hukum agama telah beres. Kerajaan jangan sesekali cuba memandai-mandai menukar tafsiran sedia ada. Pendek kata, jangan import pemikiran Islam liberal ke dalam pentadbiran kerajaan.
Misalnya, pendekatan “lebih ringan” yang cuba dibawa oleh kerajaan baharu supaya Islam kelihatan lebih rahmah dan sesuai dengan peredaran zaman.
Pendekatan itu cuba dibuat oleh menteri agama dengan menampilkan “Islam Waqi” yang sesuai dengan adat dan budaya Melayu. Namun, menjadi menteri agama di tengah-tengah persimpangan rencam aliran – kelompok konservatif, radikalis, moderat dan liberal; itu tidak mudah.
Pendekatan menyebelahi konservatif, pasti dikecam oleh kelompok liberal. Kalau sebaliknya, disesatkan kerana memihak liberal. Bahkan memilih Islamis yang bertopi moderat juga kerap menemui jalan buntu. Pemikiran agama menjadi bersimpang siur.
Jelas, inilah cabaran mengurus pemikiran agama dalam era Pakatan Harapan. Dengan wujudnya sedikit ruang kebebasan, pada masa inilah semua kelompok mahu menonjolkan tafsiran Islam masing-masing.
Meskipun agama cuba dicorakkan pelbagai ragam ideologi, malangnya keberagaman tidak menemui asas kebijakan. Jauh sekali menemukan nilai-nilai masyarakat plural. Tafsiran agama tetap beku dan jumud walau di tengah-tengah rencam aliran. Pertembungan tidak pernah habis. Keegoan atas nama agama jelas terpampang. Lantas, tafsiran agama tetap tidak sepi dari suara-suara kebodohan.
Jadi, di manakah kebijakan harus bermula?
Dalam mendepani cabaran rencam budaya dan pemikiran, Dr Mujahid Yusof Rawa dilihat memilih jalan lebih harmoni dan berhikmah. Mendengar keluh-kesah semua pihak tampak lebih bijaksana, tanpa sesekali meminggirkan dan menutupi ruang wacana. Namun, pandangan dan tindakan beliau hanya mampu memberi kepuasan separuh-separuh antara semua kelompok.
Kita harus sedar, kerajaan sekadar mengurus untuk kita hidup lebih sempurna. Kerajaan juga tidak akan menjadi lebih saleh seperti kita inginkan. Maka, dalam mengurus soal agama, kerajaan memberi sedikit kepuasan kepada kelompok konservatif dan sedikit kepada kelompok liberal.
Syaratnya, tidak menindas atau menghalang kebebasan.
Apakah dengan bersetuju memilih pendekatan ini, kita seolah-olah membenarkan kelompok konservatif menyebar tafsiran agama yang kaku dan tidak rasionalis. Tidak! Bahkan wacana pembaharuan agama mesti terus dan dikembangkan. Namun, kita harus merelakan kata ya, tanda kebebasan wacana walau dari kelompok konservatif
Sebuah kebijakan adalah memberi kebebasan tanpa membiarkan rakyat terus memilih pandangan agama yang sempit, sebaliknya proses pembaikan dan pembaharuan wujud dalam ruang masyarakat – agama hidup dalam kebudayaan!
Wacana agama bukan lagi bersifat dari atas – seperti desakan pemerintah. Jelas, tidak mudah untuk pemerintah mendominasi wacana. Lebih-lebih lagi dalam kepompong pemikiran konservatif yang marak. Membumikan wacana agama progresif memerlukan perancangan yang baik tanpa menyentakkan atau menyalakan kemarahan majoriti Melayu Islam.
Orang Melayu Islam tidak senang duduk dan terus membenci kelompok LGBT, misalnya. Wacana tersebut tidak akan berkembang dalam budaya kehidupan. Suatu kesilapan jika secara tiba-tiba wacana tersebut muncul dan diiktiraf dari pihak atas, kerana wacana tersebut masih lagi asing dalam budaya masyarakat Melayu Islam.
Mereka masih belum dapat menghadam wacana seperti LGBT, tudung, seksualiti atau hudud, kerana wacana fikah keagamaan dalam budaya yang berlangsung selama ini sangat jumud. Jadi, bagaimana mereka mampu mencerna isu tersebut?
Agama dan budaya
Pemikir filsafat Islam, Hassan Hanafi dalam karya exegese de la phenomenology menyebut budaya adalah warisan bersama dari kumpulan kesedaran individu. Setiap analisis budaya dilakukan atas kesedaran individu. Ruang dan budaya dalam sesuatu masyarakat diterjemah melalui kesedaran perilaku yang paling mendominasi. Majoriti menyebut, kesedaran Islam dikatakan hidup dalam ruang yang dianggap Islam.
Malangnya, salah faham berlaku. Ibadat difahami berkisar soal solat, puasa, haji dan zakat. Ibadat disempit-sempitkan. Seolah-olah fikah tidak mengalami evolusi. Justeru, pandangan dan tafsiran agama masih di takuk lama. Sedangkan dunia sentiasa beralih dan menjadi semakin kompleks.
Pada era 70-an hingga 90-an, bersemaraknya fenomena manusia serius dalam beragama. Gejala Islam fikah keras muncul. Lebih parah, terdapat gerakan keagamaan menyeru agenda Islamisasi – melawan agenda ‘asal’ daripada Barat. Wacana Syed Qutb seperti maalim fi tariq menjadi begitu subur.
Mungkin dosa gerakan Islam di bawah payung usrah bukan sahaja memandulkan pemikiran agama, malah melahirkan manusia yang tidak mampu merumuskan masalah kehidupan beragama dengan rasional – tidak faham Islam tetapi faham Ikhwan.
Kesannya dirasai sehingga kini, ruang beragama bukan berpaksikan fakta dan reason. Ramai yang tidak sedar bahawa agama itu hidup dan berkembang dalam rencam kebudayaan, sehingga membawa pengaruh psikologi yang disebut “Islam itu ustaz”.
Penampilan kopiah, jubah lebih diyakini. Itulah disebut sikah (percaya dan taat). Maka sosok tubuh ustaz lebih dilihat wibawa daripada hujah dan fakta. Justeru, penampilan agamawan lebih dipandang sebagai ‘asas hujah’ berbanding keampuhan ilmu. Tambahan lagi, agamawan acapkali dipandang mulia kerana dimomokkan ulama pewaris nabi.
Puncaknya, masyarakat Melayu Islam tidak berupaya untuk menguasai perbahasan agama – tidak ada upaya untuk menapis hujah agama. Soal agama diserah bulat-bulat kepada agamawan. Mereka tidak mampu dan enggan berfikir. Lebih-lebih lagi berkaitan perkara yang disebut qat’ie dalam agama.
Mengapakah budaya pemikiran ini wujud dalam budaya masyarakat beragama? Jawapannya, keupayaan tahap intelektual. Tidak semua kelompok boleh berfikir dengan kritis dan menapis hujah agama yang dimuntahkan oleh ustaz. Jadi, kebanyakan lebih selesa memilih untuk ‘faham’ agama dengan jawapan yang dimuktamadkan oleh ustaz dan mufti. Justeru, agama telah siap sedia dipakej atau diwarnakan oleh para agamawan.
Inilah fenomena logik kehidupan – orang bergantung kepada autoriti. Mereka tidak menyemak maklumat yang banyak lalu mengambil pendekatan mudah – Islam yang telah disimpulkan. Hukum sekian-sekian telah difatwa begitu begini. Bahkan hari ini, terdapat budaya mengirim doa, dan solat hajat. Ini antara bukti masyarakat beragama kita terlalu longlai sehinggakan keyakinan dalam beragama pun manusia lain yang tentukan. Walau bertentangan akal, jika keluar dari mulut mufti, itulah Islam. Maka, terjadilah sindrom ‘takut sesat’ melawan agama (dibaca, mufti).
Sehingga kini, cara beragama sempit ini kekal ada. Bahkan banyak. Risikonya, interpretasi agama menjadi sebuah dogma. Perkara inilah yang dilawan oleh golongan pembaharu Islam. Justeru, memperkasakan wacana Islam kritis harus bermula dari ruang budaya dan masyarakat. Bukan bermula dari telunjuk pemerintah.
Wacana fikah terbuka mesti menjadi budaya yang rutin di peringkat bawah untuk semua kelompok. Penting supaya ruang awam lebih bersedia dan faham tentang hal-hal agama yang sebelumnya janggal bagi mereka.
Asalkan tidak menindas hak pegangan kelompok lain, wacana pembaharuan Islam mesti terus tanpa kompromi.
Hormati kebebasan
Justeru, kelompok liberal mesti akur bahawa tahap intelek setiap orang tidak sama. Ada orang mencapai tahap intelektual yang tinggi; menjadikan seseorang tidak keliru ketika berhadapan wacana yang luas malah menjadikannya lebih cerdik. Hakikatnya, dalam ketidaksempurnaan manusia, kita harus mencari ruang dan titik temu tanpa mengabaikan hak-hak seorang manusiawi.
Jadi, terdapat keterbatasan sebahagian manusia untuk menerima pandangan berbeza. Lebih-lebih lagi tentang agama dan kepercayaan. Kelompok liberal harus ingat bahawa mereka tidak boleh memaksa kelompok konservatif menuruti acuan yang diinginkan. Mereka harus faham bagaimana dinamika awal negara berevolusi dan teori-teori tersebut ditafsir. Begitu juga sebaliknya. Setiap orang bebas mengamalkan dan memilih apa yang dirasakan sesuai dan diyakini. Setiap kelompok harus akur dan berlapang dada menerima perbezaan, selagi tidak melanggar perinsip kemanusiaan atau menindas hak-hak kebebasan.
Kebebasan berpendapat tidak diukur bahawa setiap pandangan membawa tafsiran kepada kebenaran, sebaliknya ia diukur dengan adanya kebebasan orang lain dalam mengekspresi pendapatnya. Pertembungan antara pendapat inilah salah satu cabang pendekatan ilmiah. Ini adalah ruang bersama, sekaligus proses bagi sebuah perkembangan idea.
Jadi, hormati semua manusia. Tanpa membezakan agama, kepercayaan, pandangan politik, bangsa dan jenis kelaminnya. Kita tidak adil dan zalim jika terus memaksa, menyeragamkan manusia, dan membataskan pilihan manusia. Manusia bebas berpendapat dan membangun akidah yang dikehendakinya.
Oleh itu, menjadi konservatif dalam beragama adalah pilihan. Menjadi ateis juga pilihan. Malah menjadi terorisme juga adalah sebuah pilihan kebebasan. Namun memilih kebebasan yang mencabuli kemanusiaan, mesti dilawan!
Pokoknya, raikan kebebasan asal jangan sesekali menindas! – 27 September, 2018
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan