Anwar pertahan kenyataan 'super liberal'


Chan Kok Leong

Anwar Ibrahim berkata beliau menentang golongan tersebut kerana mereka mencabar kedudukan Bahasa Melayu dan mempromosi gaya hidup LGBT. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2018.

ANWAR Ibrahim mempertahankan kritikannya terhadap golongan super liberal dan tetap berkata perjuangan mereka itu tidak boleh diterima di Malaysia.

Menjelaskan maksud ‘super liberal’, bakal presiden PKR itu berkata beliau menentang golongan tersebut kerana mereka mencabar kedudukan Bahasa Melayu dan mempromosi gaya hidup LGBT.

“Mereka yang cabar dasar Bahasa Melayu dalam pendidikan. Saya bukannya menentang mereka yang pertahankan penggunaan Bahasa Inggeris, itu saya boleh terima.

“Tetapi (tidak akan terima) jika mereka mahu mencabar kedudukan bahasa kebangsaan atau pertahankan LGBT.

“Seperti yang (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad kata, kita di Malaysia tidak boleh terima ini (LGBT), dan kita tolak golongan ini,” kata Anwar di ibu pejabat PKR malam tadi apabila diminta menjelaskan maksud “super liberal”.

“Orientasi seksual orang bukan urusan saya tetapi promosi mengenainya di sini saya tak boleh terima. Saya sudah berjumpa ramai pemimpin agama dalam negara dan mereka semua menolak dengan keras.”

Golongan yang disifatkan Anwar Ibrahim sebagai super liberal ini lantang bersuara seolah-olah Malaysia ini mereka yang punya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2018.

Semalam Anwar menyelar golongan super liberal yang menyerang beliau kerana bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.

Golongan yang disifatkan Anwar sebagai super liberal ini lantang bersuara seolah-olah Malaysia ini mereka yang punya.

“Dia anggap saya ini tidak boleh dipercayai. Ini golongan liberal anggap saya terlalu Melayu dan terlalu Islam.

“Kalau nak jadi pemimpin Malaysia, tidak boleh Melayu, tidak boleh Islam. Ini keparat punya pemikiran,” kata Anwar, pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan di Dewan Bahasa Pustaka di Kuala Lumpur, semalam. – 26 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen