ANWAR Ibrahim memberi amaran bahaya golongan yang disifatkannya sebagai super liberal yang lantang bersuara seolah-olah Malaysia ini mereka yang punya.
Bakal presiden PKR itu berkata golongan ini malah sekarang menyerang beliau kerana langkah politiknya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.
“Dia anggap saya ini tidak boleh dipercayai. Ini golongan liberal anggap saya terlalu Melayu dan terlalu Islam.
“Kalau nak jadi pemimpin Malaysia, tidak boleh Melayu, tidak boleh Islam. Ini keparat punya pemikiran,” kata Anwar, pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan di Dewan Bahasa Pustaka di Kuala Lumpur, hari ini.
PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober direncanakan untuk menghantar Anwar ke Dewan Rakyat, antara langkah peralihan kuasa beliau mengambil alih tempat Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Langkah itu dipersetujui oleh semua empat parti komponen dalam Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi.
Tindakan bekas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Port Dickson itu bagaimanapun mendapat kritikan beberapa pihak.
Mereka yang lantang mengkritiknya termasuk pendukung PH seperti peguam Siti Kassim dan Ambiga Sreenevasan, yang juga presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam).
Seorang calon bebas, Stevie Chan kemudian mengumumkan bertanding di Port Dickson atas alasan pilihan raya kecil itu diatur dengan terdesak.

“Beberapa kerat golongan yang super liberal berbicara seolah negara ini mereka punya; bila kita tegur, kita diserang seolah dia punya negara ini.
“Saudara kena ingat, saudara ini mewakili suara majoriti, negara ini kita juga berhak.
“Kita tak mahu golongan super liberal ini, mereka fikir pandangan dia mesti kita ikut, jangan ada langsung pandangan lain,” kata Anwar.
Anwar sebelum itu menyampaikan syarahan bertajuk Malaysian Baharu ke arah Pengukuhan Negara Bangsa pada program Syarahan Negarawan 2018 anjuran DBP.
Ketua umum Pakatan Harapan itu bagaimanapun menjelaskan golongan super liberal ini ada hak untuk bersuara kerana hak itu akan dijamin oleh kerajaan PH, tidak seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Beliau menjelaskan, kerajaan PH juga telah bersetuju untuk menjamin kebebasan bersuara tidak seperti kerajaan BN.
“Kita tak boleh hukum orang kerana berbicara. Kita janji kerajaan PH berikan ruang kebebasan media, orang boleh berbicara. Kalau kita tak setuju, kita betulkan,” katanya.
Sementara itu, Anwar sekali lagi menegaskan ikrar kerajaan PH mempertahankan institusi beraja dan sistem demokrasi raja berpelembagaan di Malaysia. – 25 September, 2018.
Komen