Kenapa 'Langkah PD' harus ditentang 


PADA 9 Mei 2018, rakyat Malaysia bukan sahaja mengundi untuk ikatan politik Pakatan Harapan tetapi juga simbol dan mesej yang disampaikan. Mereka mengundi untuk menentang korupsi berleluasa, menolak kepimpinan politik yang sombong dan bongkak, dan paling penting sekali mereka memilih untuk masa depan yang baru untuk seluruh Malaysia.

Mesej ini dibawa oleh Pakatan Harapan, dan saya cukup berbangga dengan kejayaan rakyat Malaysia menolak politik lama di bawah Barisan Nasional. Saya tetap penyokong idealisme, aspirasi dan manifesto Pakatan Harapan, sehinggalah ke hari ini.

Namun begitu, saya juga merasakan kita semakin kecewa dengan betapa sukar dan lewatnya perubahan yang dijanjikan PH itu untuk dikotakan. Tabiat-tabiat politik lama muncul semula, lebih-lebih lagi dengan pilihan raya kecil di Port Dickson yang harus dipanggil untuk memenuhi cita-cita dan impian seorang individu.

Keangkuhan kepimpinan politik ini, jika dibiarkan, akan membawa kita ke arah BN 2.0 semula. Tentangan saya bukanlah terhadap mana-mana individu, tetapi “Langkah PD” dan mesej disebaliknya. Pada saya, Langkah PD harus ditentang kerana:

1. Pilihan raya dipaksa seperti PRK Port Dickson ini adalah tidak selari dengan prinsip dan proses pemilihan demokratik. Sebagai prinsip, kita harus menolak wakil rakyat yang memperolok-olokkan tanggungjawab yang diamanahkan menerusi undi kita. Jika langkah sebegini diterima, maka satu hari nanti kita mungkin hanya bakal mengundi untuk proksi yang tidak membawa sebarang pendirian sendiri.

2. Tiada keperluan dan keadaan terdesak yang memerlukan PRK ini dipaksa. Anwar Ibrahim telah dibebaskan dan diampunkan. Beliau merupakan presiden parti terbesar di dalam Pakatan Harapan. Dr Mahathir Mohamad telah berjanji secara umum peralihan kuasa dalam tempoh 2 tahun. Anwar Ibrahim sendiri menyatakan hasrat untuk menjadi ahli parlimen biasa tanpa jawatan dan memberi fokus untuk agenda reformasi parlimen. Masih menjadi tanda-tanya apakah proses reformasi parlimen yang tidak boleh diusul oleh salah seorang dari 47 ahli parlimen dari parti PKR, termasuklah isteri Anwar, Wan Azizah, dan anak beliau, Nurul Izzah sehingga memerlukan campur tangan khas dan peribadi Anwar sendiri. 

3. Selepas dua pilihan-raya kecil baru-baru ini, dan hanya 4 bulan selepas PRU-14, masa yang dipilih untuk memaksa Langkah PD ini adalah tidak sesuai. Rakyat ingin melihat wakil rakyat mereka bekerja keras menyelesaikan masalah dan mempercepatkan agenda reformasi Pakatan Harapan. Langkah PD ini hanya menganggu fokus kepimpinan dari menyelesaikan isu-isu utama negara. Saya juga percaya jika Anwar kembali ke Parlimen, agenda politik akan berterusan - dari pertelingkahan dalaman PKR sehinggalah ke perbincangan kerjasama antara parti-parti, sehinggalah membantutkan agenda perubahan yang kita nantikan.

4. Akhir sekali, jikalau kita menerima alasan Langkah PD ini perlu dan terdesak, bukankah kerusi yang harus dikosongkan salah satu dari kerusi dipegang isteri atau anak Anwar Ibrahim. Wan Azizah pernah mengakui beliau sanggup mengosongkan kerusi untuk Anwar Ibrahim dalam satu wawancara pada tahun 2017. Lebih merisaukan, kehadiran suami, isteri dan anak dalam posisi berkuasa di Parlimen dan parti boleh membawa kepada tuduhan nepotisme, berat sebelah dan konsentrasi kuasa yang tidak boleh dibendung. 

Hakikatnya adalah PRK yang dipaksa, pilihan masa dan kerusi, malah kenyataan-kenyataan dari kepimpinan selepas pengumuman PRK Port Dickson ini memberi petanda kepimpinan yang semakin tidak peka dengan sentimen Rakyat.

Ditambah pula dengan keengganan mana-mana parti pembangkang untuk melawan, menaikkan risiko penghapusan nilai dan harapan yang diundi majoriti rakyat Malaysia.

Anwar bukan musuh saya. PKR bukan musuh saya. Pakatan Harapan bukan musuh saya. Musuh saya selama ini adalah kepimpinan BN yang angkuh dan korup.

Sekarang, musuh saya adalah tindakan politik angkuh dan sombong - diwakili oleh Langkah PD - yang jika tidak dihalang akan membawa kita ke arah BN 2.0.

Malangnya, tiada satu pun parti besar pembangkang yang beria ingin menentang kepincangan ini. Maka tinggal saya, Stevie Chan Keng Leong, wakil bebas yang menentang elitisme, keangkuhan dan kesombongan politik. Tibalah masa kita mendukung mentaliti Politik Baru dalam Malaysia Baru. – 25 September, 2018


* Stevie Chan Keng Leong @tapaimalaya merupakan calon bebas pilihan raya kecil Port Dickson. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Saddam Hussein jangan LIWAT RAKYAT MALAYSIA

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh HI HI · Ulasan