BAKAL presiden PKR Anwar Ibrahim “terganggu” dengan laporan dan klip video yang menunjukkan setiausaha kepada Menteri Kerja Raya Baru Bian mengagih kontrak di kalangan pemimpin parti.
“Saya sudah lihat laporan dan klip video itu dan ia sangat mengganggu” kata Anwar selepas mesyuarat biro politik parti malam tadi.
“Kami ambil serius atas apa saja tuduhan rasuah terhadap pemimpin kami tetapi kami serahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).”
Tambah Anwar, beliau akan bertemu dengan Baru Bian esok untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.
“Sangat menganggu jika tuduhan itu benar,” katanya.
Pagi semalam, calon naib ketua AMK, Syukri Ab Razab membuat laporan kepada SPRM mendakwa ada setiausaha politik menteri terlibat menjanjikan projek untuk meraih undi dalam pemilihan parti.
Setiausaha itu juga dilaporkan berasal dari Pahang.
Syukri berkata kontrak tersebut ditawarkan disebabkan pemilihan parti.
Baru Bian menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat perkara tersebut. – 26 September, 2018.
Komen