Baru Bian minta setiausaha politiknya disiasat


Menteri Kerja Raya Baru Bian mengesahkan setiausaha politiknya, Zakaria Hamid sebagai orang yang didakwa dalam laporan terhadap SPRM menawarkan projek kononnya untuk meraih undi dalam pemilihan PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2018.

MENTERI Kerja Raya Baru Bian mengesahkan setiausaha politiknya, Zakaria Hamid sebagai orang yang didakwa dalam laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan projek kononnya untuk meraih undi dalam pemilihan PKR.

Baru berkata beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya laporan Setiausaha Pengelola Pemuda PKR, Syukri Razab bersama bukti kepada SPRM pagi tadi betul.

“Kalau laporan yang dibuat kepada SPRM itu berasas, saya ingin menegaskan supaya siasatan rapi daripada pihak berwajib perlu dilakukan dengan segera kerana ia membabitkan nama baik kementerian.

“Bagi saya kalau benar seperti yang dilaporkan, saya sama sekali tidak akan bertolak ansur. Tindakan undang-undang mesti diambil,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Baru yang baru balik lawatan kerja di luar negara mengaku terkejut dengan tuduhan yang dilempar terhadap setiausaha politiknya.

Syukri, calon naib ketua Pemuda PKR pagi tadi bagaimanapun tidak menamakan individu yang didakwanya menyalah guna kuasa dengan menawarkan kontrak RM20,000 kepada penduduk setempat dalam satu mesyuarat di Pahang pada 1 September lalu.

Bagaimanapun, Syukri hanya menyebut si pelaku yang menggunakan tawaran tersebut sebagai habuan bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ketua Cabang.

Baru dalam kenyataan malam ini turut mengesahkan setiausaha politiknya merebut jawatan MPP dan ketua Cabang Bera.

Sebelum ini, dua setiausaha politik mengingatkan pelapor yang membuat dakwaan salah laku rasuah harus bersedia untuk bertanggungjawab sekiranya tuduhan mereka itu fitnah.

Menurut mereka sesiapa saja berhak untuk buat laporan kepada pihak berkuasa tetapi jangan pula pihak berkuasa diheret ke dalam pemilihan jawatan parti untuk dijadikan modal kempen memburukkan lawan, kata mereka.

“Saya kira semua orang ada hak untuk melaporkan apa saja. Kalau betul ada bukti yang kukuh dan cukup, saya rasa siapa juga berhak kemukakan laporan kepada SPRM atau polis,” kata Hilman Idham, setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Zakaria dalam pada itu berkata beliau tiada masalah untuk disiasat.

“Saya rasa nak siasat, siasatlah itu hak dia untuk buat laporan dan kita tengoklah hasilnya bagaimana. Saya tiada masalah. Kita kena menyokong, benda-benda tidak baik ini kita perlu perbetulkan,” katanya.

Bakal presiden PKR Anwar Ibrahim pada Ahad mendedahkan ada calon pemilihan PKR yang menawarkan projek kepada ahli untuk meraih undi.

Beliau memberi amaran tidak akan bertolak ansur dengan amalan kotor itu dan sedia membuang mereka yang terlibat dari parti.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya mengalu-alukan laporan mengenai dakwaan rasuah dalam pemilihan PKR itu supaya dapat diambil tindakan yang selanjutnya. – 25 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen