LEBIH ramai pekerja asing akan masuk ke Malaysia secara haram apabila kerajaan mewajibkan mereka menanggung sendiri 80% daripada levi berjumlah RM10,000, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Jumlah levi itu juga jauh tinggi berbanding yang dikuatkuasakan sekarang iaitu RM1,850, kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsudin Bardan.
“Sebenarnya ia boleh meningkatkan jumlah PATI (pendatang asing tanpa izin) kerana apabila seseorang yang (datang untuk bekerja secara) sah terpaksa bayar RM8,000, baik mereka jadi pendatang haram tidak bayar apa-apa,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Jelas Shamsudin, pengumuman kerajaan itu dilihat baik untuk majikan tetapi ia boleh menimbulkan masalah yang lain.
“Saya dapat lihat pelbagai masalah akan timbul daripada pengumuman berkenaan terutama dari kaca mata International Labour Organization (LBO) dan NGO-NGO lain yang mungkin merasakan bahawa ia melanggar prinsip keadilan dan prinsip sama rata,” tambahnya.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan perkongsian tanggungan bagi levi itu dengan baki kadar 20% dibayar oleh majikan. Peraturan itu melibatkan pekerja asing terlatih yang sudah bekerja lebih 10 tahun di negara ini.
Kadar levi pekerja asing sebelum ini ditanggung sepenuhnya majikan yang mahu melanjutkan tempoh perkhidmatan pekerja mereka bagi tempoh tiga tahun.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Tenaganita Glorene A. Das mempersoalkan perlaksanaan syarat baru itu yang dilihatnya menindas pekerja asing.
Katanya, sebelum ini ada majikan yang mengambil kesempatan mengenakan kadar levi dengan membuat pemotongan gaji.
“Adakah ini strategi untuk negara mengurangkan pekerja asing? Kami mahu penjelasan kategori pekerja yang akan terkesan dengan dasar ini memandangkan dasar menyatakan kepada semua pekerja asing.
“Sebelum ini kadar levi dibayar pekerja asing dan dipotong melalui gaji setiap bulan oleh majikan, kebanyakan dua kali ganda, yang turut memasukkan yuran agensi. Ini bukti yang kita perolehi daripada kes yang kami dapat, dan sekarang kerajaan baharu menghalalkannya,” kata Das.
Menurut Lim, pelaksanaan dasar baru ini akan memberikan pendapatan kepada kerajaan dalam masa tiga tahun.
Perincian peraturan baru itu bagaimanapun akan diumumkan oleh kementerian yang berkenaan tidak lama lagi, katanya. – 24 September, 2018.
Komen