Pekerja asing dikenakan 80% daripada RM10,000 levi, kata Menteri Kewangan


Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan struktur bayaran levi yang dikongsi antara majikan dan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2018.

PEKERJA asing perlu membayar 80% daripada RM10,000 pungutan tahunan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam ucapannya di acara pembukaan persidangan tahunan Rehda hari ini.

Bagaimanapun, Lim tidak menjelaskan bila ia akan berkuatkuasa.

“Hari ini saya mahu umumkan kerajaan akan tegas memungut levi yang sepatutnya dibayar pekerja. Kami terima aduan dan kami faham ia adalah beban yang menyusahkan.

“Jadi kami putuskan untuk benarkan perkongsian 20%-80%, 20% dibayar oleh majikan sementara 80% lagi oleh pekerja asing,” kata Lim yang disambut tepukan gemuruh oleh para hadirin.

Awal tahun ini, para majikan diarahkan untuk membayar levi bagi setiap pekerja sejajar dengan keputusan kabinet pada 25 Mac 2016.

Levi itu terpakai ke atas pekerja asing ketika mereka memohon pemanjangan tempoh permit kerja (PLKS) yang boleh dipanjangkan sehingga tiga tahun. Kadarnya sebelum ini RM1,850.

Industri Kecil dan Sederhana (SME) sebelum ini mengadu mengenai bayaran levi yang meningkat dan diarahkan untuk tetap membayar.

Lim berkata dengan struktur pembayaran 20-80, majikan hanya perlu membayar sebanyak RM150 bagi setiap pekerja daripada kadar RM1,850 itu.

“Cara ini akan mengurangkan keperluan mencari pekerja asing yang memerlukan latihan kerja yang panjang, dan dapat membantu kurangkan kos.”

Beliau berkata langkah itu bertujuan membantu majikan untuk mendapatkan pekerja yang berkemahiran terutamanya di sektor pembinaan yang dikatakan kekurangan pekerja berpengalaman.

Levi RM10,000 itu ditetapkan kepada mereka yang bekerja melebih 10 tahun di Malaysia dan mahu memperpanjang permit menggunakan PLKS yang perlu diperbaharui setiap tahun selepas tiga tahun pertama.– 24 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen