Anwar beri amaran kepada ahli jaga disiplin


Jason Santos

Anwar Ibrahim mengulas tentang kekecohan yang timbul pada hari pertama pemilihan PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2018.

ANWAR Ibrahim memberi amaran kepada ahli PKR agar menjaga kelakuan selepas kekecohan yang tercetus pada hari pertama pemilihan sehingga memaksa parti membatalkan sesi pengundian di beberapa lokasi di seluruh negara.

Bakal presiden PKR itu berkata tahap disiplin perlu dikekalkan dalam parti pada setiap masa dan memberi amaran kepada ahli bahawa beliau tidak sebaik presiden parti itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya mendengar banyak khabar yang mengatakan ada pihak membuat janji melibatkan projek. Saya tidak sebaik Wan Azizah. Saya akan mengambil tindakan kepada mereka yang merosakkan imej parti,” katanya ketika sambutan Hari Malaysia peringkat parti di Kota Kinabalu hari ini.

Anwar merujuk kepada sesi pemilihan yang menyaksikan keputusan di Kedah dibatalkan manakala proses pengundian di Perlis dan Perak terpaksa ditangguhkan.

Anwar berkata mereka yang suka mencetuskan kekacauan dalam parti seperti yang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah akan dikeluarkan dari parti.

“Mereka yang menyebabkan kekecohan semalam fikir ini adalah MIC. MIC terkenal dengan aksi baling kerusi. 

“Orang yang baling kerusi tu perlu dibaling keluar dari parti,” katanya.

Anwar berkata persaingan dalam parti sama seperti hal keluarga dan tidak melibatkan urusan mengendalikan negara.

Beliau berkata perkara yang melibatkan negara memerlukan sokongan dari semua pihak seperti yang dilakukannya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir pada ketika ini.

“Tetapi di dalam parti kita boleh bersaing asalkan jangan berlebihan, maka semuanya akan baik. Ahli boleh memilih pemimpin sebenar dan memahami kepayahan PKR.

“Bagi mereka yang bertanding, bersainglah secara adil supaya ahli tahu dasar andar,” katanya.

Anwar turut memberi peringatan kepada dua calon timbalan presiden supaya mengekalkan disiplin dan memaksa kedua-dua pemimpin itu bersemuka baru-baru ini.

Anwar turut membidas pemimpin yang mempersoal keputusannya untuk bertanding di Port Dickson dengan berkata beliau sudah membuat keputusan itu dan memaklumkannya kepada perdana menteri. – 23 September, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen