SETIAUSAHA Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekecohan yang berlaku pada hari pertama pemilihan parti di Kedah dan Pulau Pinang semalam.
Sistem e-voting yang digunakan PKR buat pertama kali untuk pemilihan parti itu juga perlu disemak semula, kata Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin malam tadi.
Kenyataan itu susulan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) untuk membatalkan keputusan di Kedah selepas sembilan daripada 15 bahagian tidak dapat meneruskan sistem e-voting.
Masalah juga berlaku di Pulau Pinang walaupun JPP memutuskan untuk menerima keputusan itu, menyebabkan sekumpulan ahli tidak berpuas hati mahukan keputusan berkenaan diisytiharkan tidak sah seperti di Kedah.
Isu itu menyebabkan pemilihan di Perlis dan Perak esok dan di Negeri Sembilan dan Melaka pada 29 September ditangguhkan ke tarikh baru yang akan ditetapkan.
Katanya, nampak jelas JPP tidak bersedia untuk mengendalikan pemilihan parti menggunakan sistem pengundian elektronik.
“Saya mewakili suara akar umbi parti ingin menggesa Saifuddin bertanggungjawab sepenuhnya pada pemilihan hari ini (semalam).
“Proses mengundi bukan tanggungjawab JPP saja. Pada masa sama pejabat setiausaha agung juga bertanggungjawab membuat pendaftaran pengundi telus dan cekap bagi membolehkan mereka mengundi,” katanya pada sidang akhbar di Seberang Jaya malam tadi.
Dr Afif memetik kes penyandang ketua bahagian Permatang Paut Amir Ghazali, yang mendapati beliau tidak boleh mengundi kerana namanya tidak ada dalam senarai.
Amir yang menyertai PKR pada 1998, seorang pemimpin yang dikenali dalam kalangan akar umbi dalam politik Pulau Pinang.
“Amir salah seorang yang berdepan masalah sama. Ini bukan tanggungjawab JPP saja. Ia juga tanggungjawab setiausaha agung.
“Saifuddin perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan beri penjelasan kepada ahli bagaimana semua ini boleh berlaku,” katanya.
Dr Afif juga menggesa ahli untuk mendesak sistem e-voting disemak semula kerana ia tidak cekap.
“Lebih teruk, kami takut sistem itu mungkin tidak telus, menyebabkan ahli meragui keputusannya.
“Walaupun keputusan di Pulau Pinang diterima, dengan timbalan presiden Mohamed Azmin Ali mendahului, kami mahu ketelusan. Sistem ini terbukan untuk dimanipulasi,” katanya.
Saifuddin tidak dapat dihubungi untuk komen malam tadi. – 23 September, 2018.
Komen