KESEMUA kakitangan syarikat Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd yang memohon skim pemisahan sukarela (VSS) dijangka akan berhenti berkhidmat 30 November ini.
Dokumen syarat tawaran yang dilihat The Malaysian Insight mengesahkan bahawa permohonan untuk skim VSS itu akan dibuka bermula 21 September hingga 10 Oktober.
Kiraan bayaran tersebut berdasarkan dua formula. Salah satunya melibatkan jumlah sebulan gaji pokok didarab jumlah tahun perkhidmatan.
Formula kedua pula berdasarkan jumlah sebulan gaji pokok didarab jumlah (bulan) tempoh perkhidmatan sebelum bersara.
Dokumen itu juga mengesahkan syarikat akan membuat bayaran kepada kakitangan tersebut dalam bentuk ansuran sebanyak 12 kali.
Bayaran itu bermula seawal Disember tahun ini selepas kakitangan berkenaan mendapat surat pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Kakitangan yang tidak mahu mengambil skim tersebut pula perlu sedia dilatih semula untuk ditempatkan di bahagian atau anak syarikat lain.
Tawaran itu dibentangkan Pengerusi Eksekutif Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam taklimat tertutup kepada kakitangan Utusan di ibu pejabat syarikat akhbar itu semalam.
Tawaran VSS kepada 800 daripada kira-kira 1,500 kakitangan mendapat kecaman Kesatuan Wartawan Kebangsaan yang menggapnya terlalu rendah dan tidak menguntungkan ahlinya.
Atas dasar tersebut, NUJ berpandangan lebih baik kakitangan diberhentikan bekerja berbanding mengambil VSS yang ditawarkan.
Sebelum ini, lebih 100 wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia sedia berpiket selepas pihak pengurusan gagal membayar gaji mengikut jadual akibat tidak cukup dana.
Syarikat itu hanya membayar gaji bulan Ogos untuk kakitangan eksekutifnya pada 6 September lalu, manakala gaji pertengahan September untuk kakitangan bukan eksekutif, yang sepatutnya dibayar pada 15 September hanya akan dibayar pada 21 hari bulan minggu depan.
Utusan turut mengabaikan kebajikan pekerja yang lain, termasuk kemudahan rawatan kesihatan apabila sejak 2014, mereka tidak dilindungi dengan kad perubatan sebaliknya perlu membayar sendiri sebelum membuat tuntutan kepada syarikat.
The Malaysian Insight turut difahamkan pihak pengurusan tidak mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi kepada kakitangan untuk menjelaskan keadaan terkini kewangan syarikat sehingga menyebabkan gaji dua kali lewat dibayar.
Minggu lalu, NUJ Utusan mendedahkan pihak pengurusan sejak beberapa bulan lalu sudah tidak lagi melunaskan komitmen kebajikan kepada pekerja, termasuk tuntutan perjalanan, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan pinjaman bank, tuntutan perubatan dan pelbagai potongan gaji lain.
Kumpulan Utusan kini berstatus PN17 didalam Bursa Saham Malaysia iaitu syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank. – 22 September, 2018
Komen