SPRM tak nafi Rosmah akan didakwa


Yasmin Ramlan

Rosmah Mansor dipanggil ke SPRM pada Jun lalu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berhubung SRC International Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2018.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan Rosmah Mansor akan turut didakwa bagi kes yang berkait dengan suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Azam Baki berkata maklumat lanjut berhubung pendakwaan ke atas isteri bekas perdana menteri itu bagaimanapun belum diketahui.

“Saya tak nafikannya… (Tapi) saya tiada maklumat tentang itu lagi,” katanya ketika ditanya mengenai usaha SPRM untuk mendakwa Rosmah.

Beliau berkata demikian selepas proses pendakwaan terhadap Najib berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah berkata, tiada sebarang notis diterima berhubung pertuduhan jenayah yang bakal dihadapi anak guamnya.

Geethan semalam dilaporkan berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa Rosmah bakal diheret ke mahkamah untuk menghadapi lebih 20 tuduhan membabitkan kes pengubahan wang haram.

Pasukan penyiasat dilaporkan sudah melengkapkan siasatan mereka terhadap Rosmah, 66, apabila fail membabitkannya dibuka semula sejak tiga bulan lalu selepas kerajaan Barisan Nasional tumbang.

Rosmah juga dipanggil ke SPRM pada Jun lalu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berhubung SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Seterusnya, Najib pada 4 Julai lalu didakwa dengan empat pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan wang SRC International berjumlah RM42 juta. – 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • ni yang tak sabar ni, sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ia ke tanah.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan