BEKAS perdana menteri Najib Razak dibawa polis untuk soal siasat selepas semalaman dalam lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dalam kenderaan tidak bertanda sekitar jam 8.55 pagi.
Beliau dibawa ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Menara 238, Jalan Tun Razak untuk diambil keterangan sebelum di bawa ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta pada jam 3 petang ini.
Najib ditahan SPRM petang semalam berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana RM2.6 bilion dipercayai dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Beliau sudah berdepan pertuduhan berasingan berkaitan pengubahan wang haram, korupsi dan salah guna kuasa dalam pemindaan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaunnya. SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB.
Dilaporkan yang Najib akan didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 hari ini.
SPRM dalam kenyataan semalam berkata ahli Parlimen Pekan itu akan dibawa ke mahkamah untuk siasatan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla). – 20 September, 2018.
Komen