Najib ditahan berhubung 'derma' RM2.6 bilion 


Bekas perdana menteri Najib Razak dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2018

NAJIB Razak dijangka akan didakwa kerana penyalahgunaan kuasa berhubung “derma” RM2.6 bilion yang didakwa diterima dari keluarga diraja Arab Saudi, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata pihaknya telah menahan bekas perdana menteri berhubung perkara itu di ibu pejabatnya kira-kira jam 4.13 petang hari ini.

“Najib akan berdepan beberapa dakwaan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Najib akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis jam 3 petang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut SPRM kini bekerjasama dengan polis untuk merakam keterangan Najib sebelum dibawa ke mahkamah esok. 

SPRM berkata, polis menyiasat Ahli Parlimen Pekan itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Bekas perdana menteri tiu sebelum ini kekal dengan kenyataan wang berkenaan adalah dari Arab Saudi namun penyiasat percaya RM2.6 bilion itu adalah dari 1Malaysia Development Berhad yang diambil menerusi transaksi yang kompleks. – 19 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen