TOMMY Thomas menafikan laporan berita yang mengatakan beliau telah meletak jawatan sebagai peguam negara.
“Sudah tentu tidak. Saya masih peguam negara. Tuduhan dan khabar angin ini tidak benar,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Thomas mengulas laporan berita yang memetik sumber bahawa beliau telah melepaskan jawatan.
Beliau dilantik sebagai peguam negara pada awal Jun, menggantikan Mohamed Apandi Ali yang pernah mengumumkan Najib Razak “bersih” daripada dakwaan salah laku bersabit 1MDB.
Najib kini berdepan tujuh pertuduhan di mahkamah berhubung dana RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, melibatkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.
Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan Februari tahun depan.
Bagi mengendalikan pendakwaan kes 1MDB, Thomas telah melantik dua peguam kanan, sekali gus memberi beliau ruang menumpukan perhatian pada tugas sebagai peguam negara.
Beliau melantik peguam Sulaiman Abdullah untuk menggantikan beliau sebagai ketua pasukan, manakala bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram pula dilantik untuk mengkaji kertas siasatan bagi tuduhan selebihnya berkaitan kes 1MDB.
Laporan berkenaan peletakan jawatannya itu diterbitkan oleh portal Free Malaysia Today namun ditarik balik beberapa minit kemudian.
Thomas tidak menafikan bahawa bukan semua pihak mahu beliau dilantik sebagai peguam negara seterusnya melaksanakan perubahan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Jadi khabar angin yang tersebar itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan baginya. – 18 September, 2018.
Komen