PEGUAM Negara Tommy Thomas melantik dua peguam kanan untuk mengendalikan pendakwaan kes 1MDB, sekali gus memberi beliau ruang menumpukan fokus pada tugas sebagai Peguam Negara.
Beliau melantik peguam Sulaiman Abdullah untuk menggantikan beliau sebagai ketua pasukan pendakwaan bagi menjalankan kes terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
“Perbicaraan yang penting dan rumit seperti ini memerlukan perhatian sepenuh masa daripada kaunsel utama, bukan hanya semasa tempoh perbicaraan tetapi juga dalam bulan-bulan sebelum perbicaraan, seterusnya diikuti dengan penyediaan hujahan bertulis yang terperinci selepas perbicaraan.
“Malangnya, tuntutan perkara yang segera dan mendesak ini tidak memberikan masa yang mencukupi untuk saya menumpukan sepenuh perhatian ke atas pendakwaan ini,” katanya.
Tambahnya lagi, seorang lagi peguam, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram pula dilantik untuk mengkaji kertas siasatan bagi tuduhan selebihnya berkaitan kes 1MDB.
Gopal mengepalai pasukan yang akan meneliti kertas siasatan yang akan diserahkan daripada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes penyelewengan tersebut.
Jelasnya, pelantikan Sulaiman dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah dan pelantikan Gopal pula mengikut Seksyen 376(3) undang-undang sama.
Kedua-dua Gopal dan Sulaiman menerima pelantikan berkenaan dan sedia menjalankan tugas tanpa bayaran, katanya.
Tiga individu yang didakwa setakat ini berhubung penyelewengan dana 1MDB adalah Najib Razak, Low Taek Jho (Jho Low) dan bapa kepada jutawan tersebut, Low Hock Peng.
Perbicaraan Najib akan berlangsung pada 12 Februari sehingga 19 Mac pada tahun depan.
Jho Low dan bapanya, yang dituduh tanpa kehadiran di mahkamah pada 24 Ogos lalu dipercayai masih lagi berada di luar negara.
Perbicaraan ke atas dua beranak itu tidak akan dapat dijalankan selagi tertuduh tidak dibawa ke mahkamah.
Menurut Thomas, masih banyak lagi kertas siasatan berhubung kes penipuan 1MDB masih belum dikemukakan oleh SPRM dan polis.
Komen