LOW Taek Jho dan bapanya, Low Hock Peng, didakwa tanpa kehadiran di mahkamah hari ini atas tuduhan berkaitan dana dicuri dari syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lapor The Edge.
Tuduhan itu dikemukakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial polis dan Pejabat Peguam Negara yang turut memohon waran tangkap untuk kedua-dua tertuduh.
Dokumen mahkamah terbabit didaftarkan di Mahkamah Sesyen di Putrajaya, lapor portal berkenaan yang melihat kertas berkenaan.
Ia turut memetik sumber yang menyebut, pertuduhan itu sebagai permulaan bagi membolehkan kedua-dua individu diekstradisi daripada lokasi persembunyian mereka.
Perbicaraan itu bagaimanapun tidak akan dapat dijalankan selagi tertuduh tidak dibawa ke mahkamah.
“Dengan pendaftaran tuduhan tersebut, langkah seterusnya adalah untuk memohon ekstradisi,” kata sumber perundangan dalam laporan tersebut.
Menurut The Edge, Jho Low didakwa dengan lapan tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Tiga tuduhan tersebut bagi kesalahan menerima wang dan lima lagi untuk memindahkan wang.
Ia melibatkan sejumlah AS$261 juta bagi penerimaan wang dan AS$196 juta untuk pemindahan wang.
Kesemuanya didakwa dilakukan melalui akaun berasingan di BSI Bank di Singapore antara Disember 2013 dan Jun 2014.
Kebanyakan wang tunai tersebut didakwa digunaka untuk membeli kapal pesiar mewah Equanimity berharga AS$250 juta yang dirampas kerajaan Malaysia dua minggu lalu.
Hock Peng pula menghapi satu tuduhan memindahkan wang berjumlah AS$56 juta. – 24 Ogos, 2018.
Komen