Jawatankuasa pemilihan PKR tidak terlibat rasuah, kata pengerusi


Kamles Kumar

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Rashid Din (kanan) berkata pihaknya telah menjalankan satu siasatan dalaman dan mendapati tiada individu terlibat dengan rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 September, 2018.

JAWATANKUASA Pemilihan Pusat (JPP) PKR tidak terlibat dalam kes rasuah yang didakwa dilakukan oleh bekas ketua penyelaras pemilihan PKR Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Rashid Din berkata pihaknya telah menjalankan satu siasatan dalaman dan mendapati tiada individu terlibat dengan rasuah.

“Jawatankuasa Pemilihan telah menjalankan siasatan dalamn ke atas smeua kakitangan Jawatankuasa Pemilihan dan mendapati mereka tidak terlibat dalam melanggar sebarang undang-undang serta etika berhubung pemilihan parti 2018.

“Kami amat serius dengan hal ini. Kami tidak memandang ringan dan tidak boleh bertolak ansur mengenainya,” kata beliau pada sidang akhbar hari ini.

Rashid juga menegaskan bahawa penyelaras yang terlibat dengan rasuah itu telah diganti dan proses pemilihan parti akan diteruskan.

“Ia tidak menjejaskan pemilihan parti, walaupun penyelaras itu sudah ditangkap. Tempatnya juga sudah digantikan.”

Menurut Rashid, hanya dua lelaki yang telah disahkan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

New Straits Times pada Ahad melaporkan dua individu ditahan SPRM selepas disyaki terbabit politik wang untuk pemilihan satu cabang PKR di Kedah.

Sumber SPRM menyebut, seorang daripadanya yang berusia 48 tahun ditahan di Alor Setar manakala seorang lagi, 46 tahun ditahan di plaza tol Pendang.

“Suspek dipercayai meminta RM20,000 daripada seorang lelaki agar namanya kekal dalam (pengkalan data) sebagai calon berdaftar, untuk membolehkannya bertanding dalam pemilihan pemimpin,” katanya dipetik NST.

SPRM juga merampas wang berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) akta SPRM 2009.  – 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen