DUA individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit politik wang untuk pemilihan satu cabang PKR di Kedah, lapor New Straits Times.
Laporan memetik sumber SPRM menyebut, salah seorang daripadanya yang berusia 48 tahun ditahan di Alor Setar manakala seorang lagi, 46 tahun ditahan di plaza tol Pendang.
“Suspek dipercayai meminta RM20,000 daripada seorang lelaki agar namanya kekal dalam (pengkalan data) sebagai calon berdaftar, untuk membolehkannya bertanding dalam pemilihan pemimpin.
“Suspek didakwa memberitahu lelaki tersebut bahawa namanya, dan juga beberapa individu lain akan digugurkan dari senarai calon (jika tidak membuat bayaran),” kata sumber seperti dipetik akhbar itu.
SPRM merampas wang berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek, dan kedua-duanya dilaporkan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk permohonan reman.
Pengarah SPRM Kedah Mohd Fauzi Mohamad dilaporkan mengesahkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) akta SPRM 2009.– 16 September, 2018
Komen