Utusan mesti jadi suara rakyat bukan suara Umno, kata Zam


Yasmin Ramlan

UTUSAN perlu bebas daripada ideologi Umno kerana sikapnya jadi suara parti Melayu itu seperti “membunuh diri sendiri” ketika keadaan kewangan syarikat kini semakin parah, kata bekas ketua pengarang kumpulannya, Zainuddin Maidin.

Utusan sebaliknya perlu berubah jadi suara yang mewakili rakyat Malaysia, katanya.

“Utusan ini menjual ideologi Umno bukan lagi menjual suara rakyat, sebab itu Utusan jatuh sehingga ada masalah. Tapi mereka tak peduli. 

“Mereka tak peduli dan tak hiraukan yang orang dah bencikan Utusan, dah tak beli Utusan. Mereka sedar, bukan tak sedar yang suratkhabar (Utusan) tak laku. 

“PH (Pakatan Harapan) menang pun, Utusan masih membuta tuli nak teruskan perjuangan mereka. Rakyat sudah tidak terima (mereka),” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Utusan yang menukar wajah terbit dalam saiz kompak dan bukan lagi lembar lebar minggu ini turut menukar slogannya kepada “Minda Rakyat”, termasuk bagi Mingguan Malaysia, terbitan edisi Ahad. 

Akhbar milik Umno itu sebelum ini memakai slogan “Pemangkin Fikiran Rakyat” sementara Mingguan menggunakan slogan “Cetusan Nurani Hati Rakyat”.

Utusan kini terbit dalam saiz kompak mulai minggu dan menukar slogannya kepada 'Minda Rakyat', termasuk bagi Mingguan Malaysia, terbitan edisi Ahad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

Umno memegang 49.77% saham dalam Kumpulan Utusan Melayu Berhad manakala syarikat Nilam Setar (M) Sdn Bhd kepunyaan Syed Mokhtar Al-Bukhari jadi pemegang saham terbesar kedua dengan 14.76%.

Menurut Zainuddin, Utusan tiada pilihan lain selain ditadbir oleh pengurusan yang bebas daripada ideologi parti politik sekiranya ingin menyelamatkan keadaan pengurusan yang semakin parah itu. 

“Utusan mesti bebas dan keluar daripada keadaan sekarang. Kita berada dalam satu keadaan yang lebih bebas daripada dulu (kebebasan bersuara). Jadi lebih mudah untuk Utusan bersuara jadi suara rakyat. 

“Ia mesti dijalankan oleh orang profesional yang lebih pentingkan perniagaan daripada ideologi politik,” katanya.

Akhir bulan lepas, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan mengulangi permintaan agar Umno melepaskan pegangannya bagi membolehkan syarikat membayar gaji pekerja. 

Zainuddin berpendapat Utusan perlu menyingkirkan semua pengarang yang fanatik dan terikat dengan ideologi Umno yang kini dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

Zainuddin, 79, atau lebih mesra dengan panggilan Zam, jadi wartawan Utusan sejak berumur 18 tahun dan memimpin akhbar itu antara 1983 hingga 1992, semasa Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri kali pertama.

Beliau kemudian masuk politik, terpilih sebagai ahli Parlimen Merbok pada 2004 dan dilantik sebagai menteri penerangan dalam kabinet Abdullah Ahmad Badawi (2006-2008).

Zainuddin  turut mengaitkan masalah Utusan sekarang dengan episod Mogok 1961, piket tiga bulan pekerja Utusan membantah pengambilalihan akhbar itu oleh Umno, ketika itu di bawah bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman.

“Apabila nasionalis kiri mengambil Utusan Melayu, mereka mahu menjadikan ideologi sosialis dan komunis. Akhirnya akhbar ini juga merosot sebab masa itu Umno telah diterima oleh rakyat,” katanya. 

Jualan akhbar Utusan Melayu pada masa itu merosot sehingga 25,000 sehingga menjejaskan pembayaran gaji kepada kakitangan, tambahnya. 

“Saya sudah alami (situasi seperti yang dihadapi Utusan sekarang). Selepas itu Tunku perlu mengambil tindakan yang keras dengan buang semua orang (berhaluan) kiri sehingga terjadi mogok 1961,” katanya. 

Zainuddin berpendapat perkara yang sama perlu dilakukan terhadap pengurusan Utusan sekarang iaitu menyingkirkan semua pengarang yang fanatik dan terikat dengan ideologi parti Melayu yang kini dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi itu. 

Jumaat lalu, NUJ-Utusan turut menasihati ahli-ahlinya untuk melancarkan protes dengan hanya bertugas di pejabat selepas pihak pengurusan Kumpulan Utusan Melayu Berhad dua kali gagal membayar gaji mengikut jadual.  

Pihak pengurusan memaklumkan syarikat sudah tiada wang yang cukup untuk membayar gaji kakitangannya, kata kesatuan itu.

Syarikat akhbar yang terbit sejak 1939 itu kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua buah bank.

Pada Jun lalu, pengurusan syarikat membayangkan akan menawarkan kakitangan Utusan skim pemberhentian sukarela sebelum akhir tahun ini – langkah yang difahamkan melibatkan kos pampasan kira-kira RM90 juta.

Bekas pengerusi NUJ-Utusan Amran Ahmad turut senada dengan Zainuddin Maidin, iaitu Utusan dan pengurusannya perlu bebas daripada individu yang bersangkut-paut dengan parti politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

Sementara itu bekas pengerusi NUJ-Utusan Amran Ahmad Nor pula berpendapat, siapa pun  tanpa mengira ideologi boleh mengambil alih Utusan, asalkan pihak itu mampu membiayai kebajikan kakitangan akhbar itu. 

“Bila gaji tak boleh dibayar pada masa yang sepatutnya, ini menggambarkan masalah yang sangat teruk,” katanya.

“Utusan tidak ada hala tuju dari dulu lagi. Utusan menyiarkan berita yang memihak kepada kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) sebab ia dipegang oleh Umno. 

“Sekarang sudah sampai tahap yang kritikal. Sebenarnya perkara ini (masalah kewangan syarikat) kita sudah jangka dari dulu lagi. Tapi tak berlaku pasal Umno masih kerajaan. 

“Tetapi selepas Umno kalah (pilihan raya), maksudnya Umno tak boleh pam duit lagi kepada Utusan,” tambahnya. 

Amran turut senada dengan Zainuddin, akhbar itu dan pengurusannya perlu bebas daripada individu yang bersangkut-paut dengan parti politik. 

Beliau memberi contoh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Abd Aziz Sheikh Fadzir yang dilantik pengerusi Kumpulan Utusan sejak 7 Jun lalu.

“Umno kena lepaskan pegangannya, biar siapa-siapa lain yang ada duit ambil alih. 

“Umno sekarang ini beri alasan tak ada duitlah, akaun kena bekukan,” katanya, merujuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Kedudukan kewangan itu juga dijadikan alasan oleh syarikat untuk tidak memperbaharui perjanjian bersama dengan NUJ bagi penggal 2014-2017. Pertikaian itu sedang dirunding di mahkamah. 

“Yang jadi mangsa kakitangan Utusan yang sudah lama berkhidmat yang mahu menyara keluarga mereka,” tambah Amran. – 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen