Apa yang kita lawan sekarang?


Izmil Amri

MENJELANG 20 tahun sejarah gerakan Reformasi, jika dikira dari tarikh perhimpunan besar-besaran di ibu kota pada 20 September 1998; kita masing-masing bertanya apakah tajuk perlawanan yang mahu dilaksanakan sekarang?

“Apa lagi, kita lawan Anwar Ibrahim lah,” ujar seorang kenalan.

Saya hanya mampu ketawa. Lembing Awang pulang ke Dayang.

“Sekarang Anwar lah institusi yang kita kena lawan,” tambahnya.

Saya tanya: “Habis dah kau lawan Mahathir?”

Dia tak jawab apa-apa.

Sentimennya itu pastinya lahir tidak jauh daripada khabar-khabar angin lebih seminggu lalu tentang bagaimana seorang ahli Parlimen akan mengundurkan diri dan mengosongkan kerusi, bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim untuk kembali ke Parlimen.

Kerusi yang diumumkan ialah kerusi Port Dickson. Dalam banyak-banyak kerusi Parlimen, kawasan yang dikatakan sejarah gelap buatNajib Razak juga yang dipilihnya.

Apa pun, keputusan sudah dibuat, jentera sudah bergerak. Parti-parti komponen Pakatan Harapan sudah memberi lampu hijau.

Namun, beberapa persoalan masih membuat kita tidak tenteram dan tidak senang duduk.

Sementelahan baru saja beberapa hari lalu kita menurunkan bendera-bendera kempen di Seri Setia dan Balakong. Kedua-duanya mencatatkan peratus keluar mengundi yang menyedihkan. Lelah pilihan raya masih belum lepas.

Persoalan yang paling membuat orang ramai berasa mual pastinya kenapa mesti sekarang? Tak ada masa lain? Bosan sangatkah menjadi parti kerajaan?

PKR sedang berhadapan pemilihan parti yang paling penting dalam sejarah penubuhannya sepanjang 20 tahun gerakan reformasi.

Gerakan reformasi tidak bermula pada 1998, apabila Anwar Ibrahim disingkir daripada Kabinet, sebaliknya sejak 31 Ogos 1957, kata aktivis politik Hishamuddin Rais. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2018.

Kalau dilihat kembali sejarah pemilihan parti ini, hampir tidak pernah sunyi daripada kontroversi yang mungkin sahaja membuatkan parti itu pecah berkecai.

Kali ini wujud pertembungan dua pasukan merebut jawatan timbalan presiden. Ertinya timbalan kepada Anwar.

Kedua-dua pasukan ini masing-masing diketuai hero kegemaran ramai, Rafizi Ramli dan anti-hero yang juga penyandang, Mohamed Azmin Ali.

Pasukan si anti hero disebut ramai sebagai “kartel” manakala pasukan yang satu lagi belum ada nama “glamour”.

Sukar untuk kita tidak bersetuju “Langkah Port Dickson” yang diumumkan oleh pasukan tanpa nama glamour tadi adalah satu langkah kempen pemilihan parti.

Langkah untuk menunjukkan kepada akar rumput parti PKR yang kumpulan “Reformasi 20 tahun” sedang berusaha keras untuk memastikan Anwar kembali segera ke Dewan Rakyat, dan bergiat aktif dalam kerajaan, tanpa berlengah-lengah lagi.

Akar rumput parti ini nanti akan ke peti-peti undi cabang masing-masing, membawa sekeping kertas ‘chai’ dengan senarai calon yang membawa slogan “Reformasi 20 tahun” dan sambil menandakan pilihan masing-masing, berkata dalam hati “Ya, mereka inilah yang memperjuangkan Anwar sehingga menjadi perdana menteri menunggu.”

“Inilah maksud PM tepi,” kata seorang lagi teman sambil menunjukkan lukisan kartun yang menunjukkan karikatur Dr Mahathir sebagai “PM” manakala Anwar muncul dari tepi bingkai dengan wajahnya dilukis separuh.

Akhirnya perjuangan reformasi selama 20 tahun lampau, dihempuk belantan FRU, ditembak air gatal, diheret masuk ke lokap setelah dipijak-pijak sampai hilang rupa bentuk wajah, membawa Anwar sehingga ke tahap ini. Menjadi “PM tepi”. Menunggu kuasa di bendul istana Putrajaya.

Sebenarnya reformasi tidak bermula sejak 20 September 1998. Apatah lagi 2 September tahun yang sama, ketika Anwar dipecat oleh orang yang kini berjanji untuk menyerahkan tampuk pentadbiran negara kepadanya.

Reformasi bermula jauh lebih awal lagi.

“Reformasi bermula sejak 31 Ogos 1957,” kata agitator politik sepanjang zaman, Hishamuddin Rais dalam wawancaranya bersama The Malaysian Insight minggu lalu.

Saya menyelit ketika wawancara berlangsung dan duduk di tepi, mendengar jawapan-jawapan Isham serta memahami bagaimana beliau menumpahkan taat setianya kepada suatu idea perjuangan zaman berzaman.

Ia tidak bermula pada satu sosok, dan pastinya tidak berakhir pada satu sosok. Reformasi 20 tahun kemudian tidak boleh disandarkan kepada Anwar, meski beliaulah yang pertama membawa teriakan itu ke arus perdana setelah dilengser dari koridor kuasa.

“Lawan tetap lawan” adalah slogan yang tetap relevan, hatta setelah Anwar tidak lagi mahu menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

Meskipun di hujung ayat itu Anwar berkata “lawan sampai menang”; tidak bermakna perlawanan habis selesai setelah kemenangan diraih. Apatah lagi ketika kemenangan baru sahaja empat bulan dalam genggaman.

Justeru, kita kembali kepada tajuk persoalan. Apa yang kita lawan sekarang?

Tuan-tuan dan puan-puan. Saya mohon semuanya bersetuju bahawa apa yang kita lawan sekarang adalah benda yang sama kita lawan sepanjang 20 tahun lalu.

Kita lawan apa sahaja yang membantut perjuangan reformasi demi kemaslahatan rakyat dan negara. Biarpun si tukang bantut itu adalah orang yang menjadi simbol perjuangan itu sendiri. – 17 September, 2018.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen