Kami bukan ekstremis, kata Hadi kepada MCA


Chan Kok Leong

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata MCA tak perlu bimbang dengan parti Islam kerana mereka bukan ekstremis seperti dilapor banyak pihak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 September, 2018.

MCA tak perlu bimbang dengan PAS kerana parti Islam itu bukanlah parti ekstremis, kata Presiden Abdul Hadi Awang.

“Mereka tak perlu bimbang dengan perjuangan PAS. PAS bukanlah parti ekstremis seperti yang dilaporkan,” kata Hadi kepada wartawan selepas ucapan mengangguhkan Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu hari ini.

“Kami menguruskan parti berasaskan peraturan sedia ada dan kami menentang kumpulan ekstremis.”

Katanya, PAS bersedia bertemu pemimpin MCA untuk menjelaskan pendirian mereka.

MCA, parti mewakili kaum Cina meluahkan kebimbangan selepas Pengerusi Barisan Nasional Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan menerima kerjasama dengan PAS.

Presiden MCA Liow Tiong Lai berkata parti itu tidak mengetahui rancangan Umno itu walaupun Zahid mendakwa sudah berbincang dengan mereka.

“Saya sudah kata sebelum ini yang MCA tidak akan bekerjasama dengan PAS. Pendirian kami sentiasa teguh dan tidak akan wujud pakatan dengan mereka,” kata Liow pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA Wilayah Persekutuan pada Sabtu.

Bagaimanapun, PAS memberikan sokongan kepada MCA berkempen pada Pilihan Raya Kecil Balakong baru-baru ini.

Tidak seperti Umno dan MIC, MCA tidak menghantar wakil ke majlis perasmian muktamar PAS semalam. – 16 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen