WALAU Abdul Hadi Awang tidak mengucapkan dengan jelas maksud kerjasama kedua-dua parti, Umno faham hasrat sebenar presiden PAS itu, kata presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid menjelaskan, kerjasama Umno yang terjalin dengan PAS ketika ini bukan satu tahaluf siyasi (kerjasama politik) tetapi hanya kerjasama dalam kerangka gagasan parti pembangkang.
“Saya menghayati setiap patah perkataan Presiden PAS yang menggariskan 10 arahan kepada ahli-ahli terutamanya meramaikan ahli-ahli dan memperkukuhkan parti.
“Kalau diteliti, kita harus membaca apa yang tersirat, bukan apa yang tersurat sahaja. Saya fikir kepimpinan (PAS) ikhlas (untuk bekerjasama) walaupun tidak disebut secara spesifik.
“Orang politik faham apa yang disebut mengenai jalinan kerjasama yang dimaksudkan presiden PAS,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Muktamar Tahunan PAS di Kuala Terengganu hari ini.
Abdul Hadi dalam ucaptamanya memberi jaminan kepada perwakilan parti itu bahawa sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama dengan pihak lain termasuk parti politik akan dilakukan tanpa mengorbankan prinsip perjuangan PAS.
Jelasnya, PAS akan mengambil pendekatan politik matang dengan semua pihak termasuk seteru politik dengan bersikap damai terhadap kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, PAS bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan, kata Hadi.
Tambah Hadi, objektif kerjasama ini adalah untuk mencari titik persamaan dan menangani perbezaan, serta menolak perpecahan.
Mengulas lanjut perkara itu, Zahid menegaskan kerjasama dengan PAS bukan berkisar mengenai soal agama sahaja tetapi realiti baru landskap politik negara yang memerlukan pembangkang bersatu.
Kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan MIC perlu faham bahawa pembangkang perlu mempunyai bentuk pemikiran yang sama untuk menentang Pakatan Harapan.
“Saya kerap kali mengadakan perbincangan dengan presiden dan kepimpinan tertinggi MCA, mereka sangat matang dan bersikap rasional.
“Walaupun kebersamaan ini dalam perkara-perkara yang membabitkan isu Islam, kita tidak mengenepi agama lain. Sama juga dengan bangsa lain dan juga rakyat di bandar dan di pinggir bandar,” katanya.
Mengulas sama ada akan wujud pembentukan satu gabungan pembangkang menjelang PRU15, Zahid menjelaskan perkara itu memerlukan perbincangan lanjut secara berperingkat.
“Ketika ini jawatankuasa yang wujud hanya di peringkat Parlimen. Umno, BN dan PAS telah bentuk kerjasama atas isu kluster mengikut kementerian yang ada sekarang,” ujarnya.– 15 September, 2018.
Komen