Orang lain memimpin kalau Melayu-Islam gagal, kata Hadi


Chan Kok Leong

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkata walaupun rakyat mengundi Pakatan Harapan, sejarah menunjukkan kemajuan hanya berlaku bila Islam memimpin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 September, 2018.

KALAU orang Melayu Islam gagal memimpin, kepimpinan itu akan diambil oleh orang lain, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau mendakwa kerajaan Pakatan Harapan kini dikuasai oleh bukan Melayu, dan orang Melayu sepatutnya menyalahkan diri mereka sendiri kerana membiarkan perkara itu berlaku.

“Orang Melayu yang mengundi Pakatan Harapan. Tetapi sejarah menunjukkan kemajuan hanya akan datang apabila Islam memimpin,” kata Hadi dalam ucapannya menangguhkan Muktamar PAS yang ke-64 di Kuala Terengganu hari ini.

Hadi juga berkata sekiranya Melayu Islam tidak dapat memimpin, Allah akan menjadikan kaum lain masuk Islam untuk memimpin.

Beliau memberi contoh bagaimana Turki sebuah negara bukan Islam tetapi kemudiannya Islam dan memimpin dunia, bukannya kaum Arab yang asalnya menerima Islam.

“Sekiranya orang Cina dan India menerima Islam, mereka juga boleh jadi pemimpin. Jadi, jangan marah kerana salah kita sendiri,” kata Hadi.

Muktamar PAS hari ini turut meluluskan usul mahu parti Islam itu menerajui usaha menyatukan kelangsungan politik Islam Melayu di Malaysia, usul yang dilihat merujuk kepada kerjasama dengan Umno dalam landskap politik selepas pilihan raya umum ke-14.

Usul oleh Dewan Pemuda PAS Pusat itu diluluskan tanpa bahas.

Sekiranya orang Cina dan India menerima Islam, mereka juga boleh jadi pemimpin. Jadi, jangan marah kerana salah kita sendiri, kata Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 September, 2018.

Sementara itu, Hadi menegaskan kesetiaan adalah antara kekuatan PAS dan ahli-ahlinya mesti terus meletakkan keyakinan kepada pemimpin parti.

Mengimbau sejarah Perjanjian Hudaibiyah, Hadi menjelaskan pentingnya taat kepada pemimpin dalam menentukan keputusan yang terbaik untuk kepentingan semua, seperti yang ditunjukkan oleh para sahabat kepada Nabi Muhammad.

“Ada yang boleh didedahkan, ada yang tidak boleh didedahkan,” kata Hadi, merujuk kepada perjanjian itu dan kebijaksanaan pemimpin menentukan sesuatu untuk jemaahnya.

Perjanjian Hudaibiyah adalah titik penting dalam sejarah awal Islam apabila orang Islam dapat masuk semula ke Mekah, Nabi Muhammad diiktiraf sebagai pemimpin dan Madinah diperakui sebagai sebuah kerajaan Islam.

Hadi juga memberi contoh bagaimana negara-negara Islam lain membuat kerjasama termasuk dengan kerajaan yang berlainan ideologi demi kepentingan tertentu, misalnya Turki yang kini bekerjasama dengan Rusia untuk menentang penindasan ke atasnya.

“Apabila Turki berbaik dengan Rusia, dia bukan jadi komunis. Kalau tidak, dia tidak boleh hendak lawan Amerika seorang dia,” kata Hadi.

“Itu sebabnya kita sedia berunding dengan Umno.”

Ada perjanjian antara pemimpin yang boleh didedahkan, ada yang tak boleh didedahkan, kerana itu ahli perlu percaya kepada kebijaksanaan pemimpin, kata Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 September, 2018.

Isu kesetiaan dan yakin pada pemimpin berbangkit pada muktamar ini, yang menyerahkan mandat kepada pimpinan pusat dan Majlis Syura Ulama untuk menentukan bentuk kerjasama politik parti Islam itu dengan parti-parti lain sebelum pilihan raya umum akan datang.

Mandat itu menyentuh terutamanya rundingan PAS dengan musuh tradisinya Umno, yang mendapat bantahan daripada perwakilan Pemuda pada Jumaat yang menolak kerjasama dengan parti itu.

Hadi bagaimanapun menegaskan sebarang kerjasama dengan Umno terletak pada persetujuan bersama bahawa Islam dipertahankan dan Islam yang akan memimpin. – 16 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen