MUKTAMAR Pemuda PAS menolak usul untuk mengadakan kerjasama politik dengan Umno dan menegaskan agar parti mengukuhkan kerjasama politik dalam Gagasan Sejahtera.
Usul tergempar oleh wakil Kota Raja pada asalnya menggariskan supaya PAS Pusat menentukan rakan politik menerusi kerjasama politik (tahaluf) dan bukannya melalui kerjasama dalam perkara kebaikan (taawun).
Semasa perbahasan, wakil Pemuda Tumpat bagaimanapun mencadangkan supaya klausa kerjasama dengan rakan politik menerusi kaedah tahaluf dan kerjasama dengan Umno-BN dibatalkan.
Usul tersebut diterima dengan pindaan di mana 273 perwakilan bersetuju mana 58 perwakilan mengundi menentang.
Turut diterima adalah usul untuk mengikat hubungan dengan Umno-BN dengan jelas dan berprinsip kerana kerjasama dalam bentuk taawun terlalu anjal.
Pemuda PAS juga menggariskan agar hubungan itu dibuktikan dengan lantikan politik daripada wakil PAS dan Gagasan Sejahtera di dalam kerajaan Umno-BN di Pahang dan Perlis.
Muktamar Dewan tersebut juga menerima usul mengukuhkan Gagasan Sejahtera dengan menzahirkan keikhlasan PAS menerusi lantikan politik dalam kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kepada rakan daripada Gagasan Sejahtera.
Ia bertujuan agar pegawai lantikan politik daripada Gagasan Sejahtera – melibatkan PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia – dapat menjadi ejen semak dan imbang, menurut usul dicadangkan wakil Kota Raja.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam sidang media selepas itu menjelaskan, usul asal yang dikemukakan adalah untuk membentuk tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan ikatan yang jelas dan bukannya longgar seperti mana taawun siyasi.
Bagaimanapun, ia ditolak kerana akan melibatkan syarat tertentuk seperti ketika PAS bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.
Oleh itu, kerjasama dengan Umno kekal dengan konsep “taawun siyasi” iaitu bekerjasama dengan perkara yang berkait dengan agama, jelasnya.
“Yang pertamanya usul tersebut, ada perkara-perkara yang sudah ada dari segi hala tuju yang telah digariskan oleh parti antaranya taawun siyasi dengan mana-mana parti politik termasuklah juga parti Umno dalam perkara yang berkait dengan kepentingan Islam, Melayu dan rakyat secara umumnya.
“Sekarang ini kita tidak ada hala tuju yang ditetapkan oleh parti atas nama tahaluf. Apa yang kita persetujui adalah taawun. Dalam taawun ini tolong menolong termasuklah dari sudut dalam perkara yang berkait dengan kepentingan Islam.
“Konsep taawun ini kita tidak duduk dalam satu ikatan. Bila kita buat tahaluf, dengan sendirinya dia ada prasyarat macam dalam Pakatan Rakyat dahulu. Taawun tidak perlu kepada benda itu,” jelasnya.
Mengulas mengenai bantahan yang diterima daripada sebahagian perwakilan yang tidak bersetuju dengan usul asal sehingga membawa kepada pindaan, Khalil berkata ia hanya soal teknikal dan beliau meraikan perbezaan pendapat.
“Itu perkara biasa perkara-perkara teknikal seperti ini berlaku. Jadi kita tidak menolak kesemua usul tersebut yang mana kita hanya pinda untuk kemaskan lagi usul tersebut supaya ianya dilaksanakan oleh kepimpinan parti,” katanya. – 14 September, 2018.
Komen