PKR gantung tugas ahli terlibat kes rasuah pemilihan parti


Nabihah Hamid

Status keahlian kedua-dua individu terbabit bergantung kepada keputusan pimpinan parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018

KETUA penyelaras pemilihan PKR bagi negeri Kedah digantung tugas serta-merta selepas dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam rasuah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti, Rashid Din.

Beliau mengesahkan hanya seorang daripada dua yang ditahan SPRM itu yang dilantik oleh ibu pejabat untuk menyelaraskan pemilihan parti di peringkat negeri Kedah.

“Dia hanya bertugas (di Kedah) sewaktu pemilihan sahaja. Untuk jawatan itu, kita gantung serta-merta dan akan lantik yang lain,” kata Rashid ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Ditanya mengenai status keahlian mereka yang ditahan, Rashid berkata itu bergantung kepada keputusan pimpinan parti.

“Selalunya yang ada kes akan dikenakan tindakan tatatertib parti. Tetapi apapun boleh rujuk kepada Setiausaha Agung mengenainya,” katanya lagi.

Hari ini dua individu ditahan SPRM selepas disyaki terbabit politik wang untuk pemilihan satu cabang PKR di Kedah, lapor New Straits Times.

Sumber SPRM menyebut, seorang daripadanya yang berusia 48 tahun ditahan di Alor Setar manakala seorang lagi, 46 tahun ditahan di plaza tol Pendang.

“Suspek dipercayai meminta RM20,000 daripada seorang lelaki agar namanya kekal dalam (pengkalan data) sebagai calon berdaftar, untuk membolehkannya bertanding dalam pemilihan pemimpin,” katanya dipetik NST.

The Malaysian Insight difahamkan isu kes rasuah tersebut telah dimaklumkan ke pejabat Setiausaha Agung PKR untuk perhatian serta-merta.

“Saya sudah maklumkan kepada pimpinan, dan esok kita akan semak keahlian. Perkara ini juga akan dibawa ke mesyuarat biro politik Selasa ini,” kata pegawai parti yang enggan dinamakan.

SPRM merampas wang berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek, dan kedua-duanya dilaporkan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk permohonan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) akta SPRM 2009. – 16 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen