PERSATUAN Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata pihaknya tidak akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil Port Dickson kerana marah dengan tindakan penyandangnya mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.
“Khabar angin mengatakan kami akan bertanding pada pilihan raya untuk mencabar Anwar Ibrahim adalah tidak benar. Patriot tidak pernag keluarkan kenyataan itu,” kata presidennya Brigedier Jeneral (B) Mohamed Arshad Raji kepada The Malaysian Insight.
“Bagaimanapun, kami tidak menghalang sesiapa untuk bertanding atau menghalang sesiapa untuk mengundi,” kata Arshad.
Sebelum ini terdaoat laporan yang mengatakan Patriot akan meletakkan calonnya pada pilihan raya itu.
Patriot menyatakan ketidakpuasan hati berhubung peletakan jawatan Danyal Balagopal Abdullah yang memberi laluan kepada Anwar.
Danyal merupakan calon PKR pada pilihan raya umum di Port Dickson.
Arshad sebelum ini menyifatkan keputusan Danyal itu merupakan satu pengkhianatan terhadap anggota tentera yang banyak berkempen untuk beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
“Apa yang mengecewakan veteran ialah ramai yang memberi sumbangan kepada dana kempen Danyal apabila beliau diumumkan sebagai calon kerusi Port Dickson.
“Malah, Patriot dan veteran lain telah berkempen untuk beliau dan meraikan kemenangannya,” kata Arshad dalam satu kenyataan.
“Laksamana Muda Danyal Balagopal Abdullah (B) hanya buah catur yang digunakan dalam permainan politik bagi memenuhi kehendak parti. Patriot dan veteran melihat inilah corak permainannya,” katanya.
Danyal memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 dengan mendapat 36,225 undi manakala BN 18, 515 undi dan PAS 6,594 undi. – 16 September, 2018
Komen