Perlu masa yang lama untuk selesaikan kes 1MDB, kata Jomo 


Bede Hong

Ahli Majlis Penasihat Kerajaan Jomo Kwame Sundaram berkata kes itu bertambah rumit apabila semua transaksi berlaku di luar negara atau tiada rekod.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2018

LEBIH daripada setahun masa yang diperlukan untuk polis melengkapkan siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad kerana banyak transaksi berlaku di luar negara atau tidak pernah direkodkan, kata salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Jomo Kwame Sundaram.

Jomo meragui polis akan mendapatkan kesemua dokumen berkaitan salah laku dalam dana pelaburan negara itu.

“Saya tidak pasti kerana semua ini tidak diketahui,” kata Jomo kepada pemberita pada program pelancaran buku di Universiti Malaya hari ini.

Katanya, ia merupakan siasatan yang kompleks menjadikan ia lebih sukar kerana kebanyakan transaksi dibuat di luar negara.

“Tambahan pula, tidak semua yang sanggup membantu. Tidak semua sanggup menyalurkan maklumat,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata siasatan ke atas 1MDB akan selesai dalam tempoh setahun walaupun terdapat cabarang dalam mendapatkan bukti dari negara luar.

Tambahnya, polis menerima kerjasama daripada pihak berkuasa di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Arab Saudi.

Jomo bagaimanapun masih tidak yakin.

“Itu (siasatan diselesaikan dalam tempoh setahun) dengan menganggap pihak berkuasa sanggup menyediakan maklumat.

“Bagaimana dengan apa yang pihak berkuasa tidak tahu? Banyak transaksi tidak melibatkan pihak berkuasa. Walaupun pihak berkuasa ingin membantu, mereka mungkin tidak dapat membantu,” katanya.

Jomo berkata beliau bagaimanapun kagum dengan keyakinan polis untuk menyelesaikan skandal kewangan terbesar ini, dan menyatakan ia bukan perkara mudah kerana tidak mengetahui sebesar mana sebenarnya masalah berkenaan. – 14 September, 2018

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen