PIHAK polis mempunyai tempoh setahun untuk menyimpan barang rampasan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011.
Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata, barang-barang rampasan yang disita pihak berkuasa itu masih diperlukan untuk membantu siasatan mereka.
“Perlu saya jelaskan bahawa peruntukan di bawah AMLATFPUAA 2001, pihak penguatkuasa undang-undang diperuntukkan tempoh selama setahun untuk menjalankan siasatan ke atas harta alih dan harta tak alih yang telah disita.
“Penyitaan ke atas barang-barang itu adalah berdasarkan wujudnya alasan munasabah dan disyaki bahawa barang-barang yang disita ini hasil daripada perolehan wang haram untuk kes 1MDB
“Oleh itu semua barang rampasan disita masih diperlukan pihak polis untuk melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini mempersoalkan pihak berkuasa kerana masih belum memulangkan barang rampasan yang disita.
Najib berkata, di bawah undang-undang, aset yang dirampas perlu dikembalikan selepas tiada pendakwaan dibuat dalam tempoh tiga bulan.
“Walaupun saya pernah mengulas sedikit sebanyak tentang isu ini kepada beberapa media tempatan, saya pilih untuk membuat penjelasan dengan lebih panjang lebar sekarang kerana walaupun banyak usaha dan rundingan telah dilakukan tetapi PDRM masih tidak mahu kembalikan wang ini kepada parti.
“Ia telah melangkaui tempoh tiga bulan mengikut undang-undang untuk dikembalikan jika tiada dakwaan dibuat mengenai aset yang disita,” katanya.

Noor Rashid berkata, pihak polis juga sudah menghantar notis perintah hari ini kepada pihak yang disiasat berhubung pemilikan wang tunai tersebut.
“Sehingga kini pihak AMLA (Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram) polis tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak ke atas sitaan wang tunai dan barang-barang berharga yang berkenaan.
“Namun pihak terlibat telah membuat kenyataan akhbar berkenaan isu wang tunai yang disita, lantaran itu pihak AMLA PDRM telah menyerahkan perintah di bawah Seksyen 32 AMLATFPUAA 2001 untuk hadir memberi keterangan kepada pegawai penyiasat berkaitan pemilihan wang tersebut,” kata Noor Rashid lagi.
Beliau juga yakin siasatan berkaitan skandak berkenaan akan dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.
Dalam serbuan berkaitan siasatan 1MDB di kediaman berkaitan Najib, pihak polis telah merampas wang tunai berjumlah RM114 juta daripada matawang asing, barang kemas dan 566 beg tangan, 437 jam tangan dan 234 cermin mata pelbagai jenama. Nilai rampasan dianggar mencecah RM1.1 bilion. – 13 September, 2018.
Komen