TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali meminta parti itu bersatu dan berusaha memastikan Anwar Ibrahim menang serta mengekalkan kerusi Parlimen Port Dickson, sambil mendesak kepimpinan parti memberi “perhatian sewajarnya” kepada pandangan para pemimpin parti yang tidak berpuas hati dengan cara kerusi dikosongkan untuk presiden parti.
“Kebimbangan yang dikemukakan oleh beberapa pemimpin PKR mengenai bagaimana kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan untuk Anwar adalah perkara serius,” kata Azmin.
Walaupun perkara itu sudah diputuskan, ia perlu ditangani untuk memastikan hal itu tidak berulang.
“Tumpuan kami sekarang adalah untuk memastikan Pakatan Harapan mempertahankan kerusi melalui PKR. Saya juga menggesa PKR bersatu dan bekerja keras untuk mempertahankan kerusi itu.
“Tetapi pandangan sesetengah pemimpin parti adalah serius dan harus diberi perhatian.
“Saya percaya kita dapat menyelesaikan perkara itu dengan konsensus parti supaya tidak ada lepas pandang di masa depan,” katanya kepada pemberita di Seberang Jaya malam tadi selepas bercakap di Malam Semarak Merdeka PKR.
Pada Rabu, PKR mengumumkan Anwar menerima tawaran Ahli Parlimen Danyal Balagopal Abdullah untuk mengosongkan kerusi beliau untuk dipertandingkan bagi kemunculan semula Anwar ke Parlimen.
Danyal mengumumkan perletakan jawatannya pada majlis yang dihadiri Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mencabar Azmin untuk jawatan nombor dua parti dalam pemilihan akan datang.

Azmin tidak hadir. Beliau berada di Hanoi untuk mewakili Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Forum Ekonomi Dunia Asean 2018.
Beberapa jam selepas pengumuman itu, beberapa pemimpin PKR yang diketahui bersekutu dengan Azmin mempersoalkan pemilihan kerusi, mendakwa perkara itu tidak pernah dibincangkan oleh jawatankuasa pusat parti atau biro politik.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menggesa Anwar menyatakan sama ada keputusan itu dibuat dengan persetujuan kepimpinan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata tiada mesyuarat rasmi diadakan untuk membincang atau memaklumkannya kepada semua pemimpin parti yang Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil atau sesiapa mengosongkan kerusi bagi tujuan itu.
Ahli majlis kepemimpinan parti pusat Latheefa Koya mempersoalkan mengapa keputusan itu dibuat “secara rahsia” tanpa perbincangan dalam biro politik parti atau jawatankuasa pusat.
Saifuddin berkata keputusan Danyal mengosongkan kerusi Port Dickson untuk Anwar dibuat pada mesyuarat biro politik parti. – 14 September, 2018.
Komen