KEPUTUSAN Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson melalui pilihan raya kecil (PRK) mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan pimpinan PKR.
Ahli Majlis Kepimpinan Pusat PKR Latheefa Koya melontarkan beberapa persoalan berhubung PRK itu di halaman Facebook hari ini.
Tanpa menamakan sesiapa namun jelas merujuk kepada bakal presiden PKR, Anwar, Latheefa mempersoalkan mengapa keputusan untuk bertanding di Port Dickson dirahsiakan.
Malah perkara seperti itu sepatutnya dibincangkan dalam biro politik parti atau dalam Majlis Pimpinan Pusat, tambah beliau.
“Mengapa buat keputusan tanpa melalui mekanisme parti - bukan melalui biropol (biro politik) ataupun majlis pimpinan pusat?” soal Latheefa sambil menambah mengapa rancangan itu tidak dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi parti.

Hantaran beliau di Facebook itu juga ditanda dengan #janjiakupm sebagai tanda Anwar sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi perdana menteri.
“Reformasi apa yang anda cakapkan? Demokrasi apa yang anda cakapkan?” tanya Latheefa.
Danyal Balagopal Abdullah hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen Port Dickson serta-merta, bagi memberi ruang kepada Anwar bertanding di kerusi itu dan seterusnye kembali ke Dewan Rakyat.
Menurut Danyal keputusannya itu dimaklumkan kepada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya mengadakan beberapa mesyuarat bersama Anwar yang akur untuk menerima tawaran saya untuk bertanding di PD.”
Anwar perlu kembali ke Parlimen untuk membolehkan beliau menjadi perdana menteri kelapan seperti yang dirancang. – 12 September, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan