Mohamad Hasan tidak minat tanding Port Dickson


Nabihah Hamid

Bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan mahu memfokuskan kepada kemungkinan PRK di kawasan DUNnya sendiri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2018

BEKAS Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan tidak berminat jadi calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson sebaliknya mencadangkan calon tempatan melawan Anwar Ibrahim.

Mohamad, yang juga timbalan presiden Umno, berkata beliau juga perlu memberi tumpuan kepada kemungkinan pilihan raya kecil di kawasannya sendiri sekiranya mahkamah pilihan raya memutuskan demikian.

“Itu bukan permainan saya. Saya perlu fokus kepada kemungkinan PRK di DUN saya sendiri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau juga berpandangan kedudukan calon itu biarlah diputuskan oleh Barisan Nasional Negeri Sembilan selepas berbincang dan mendengar pandangan daripada pimpinan di Port Dickson.

“Nanti kalau letak calon orang tak suka, susah juga kita. Tetapi tempatan calon mesti yang ada kredibiliti,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Mahkamah pilihan raya Seremban minggu lalu menolak permohonan bantahan awal Mohamad untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Dr S. Streram, calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di kawasan Parlimen Rembau.

Dr Streram memfailkan petisyen itu selepas mendakwa disekat daripada mengemukakan pencalonannya pada hari penamaan calon kerana gagal menunjukkan pas calon yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mahkamah pilihan raya Seremban minggu lalu menolak permohonan bantahan awal Mohamad Hasan untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Dr S. Streram.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2018

Hari ini, PKR mengumumkan kerusi Parlimen Port Dickson akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk ke Dewan Rakyat dalam langkah awal untuk peralihan kuasa sebagai perdana menteri seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan.

Ahli Parlimennya Danyal Balagopal Abdullah hari ini letak jawatan untuk memaksa satu pilihan raya kecil diadakan bagi membolehkan Anwar dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat.

Mohamad dalam pada itu menyerahkan kepada Majlis Tertinggi BN untuk membuat keputusan sama ada parti itu akan meletakkan calon ataupun tidak. 

“Biarlah Majlis Tertinggi Barisan Nasional bersidang dulu. Kalau hendak letak calon kena bincang juga parti mana yang akan diberikan mandat,” katanya lagi. 

Mohamad mengulas kenyataan exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang mencadangkan agar Mohamad jadi calon melawan Anwar di Port Dickson.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berpendapat senada dengan Mohamad, calon tempatan lebih sesuai mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu nanti. 

Bekas ketua pemuda Umno mencadangkan nama wakil rakyat Linggi, Rahman Redza, seorang peguam dan Adun dua penggal “dengan prestasi yang baik”. Linggi ialah satu daripada lima kawasan DUN di bawah Parlimen Port Dickson.

Port Dickson yang dahulu dikenali sebagai Ahli Parlimen Teluk Kemang dimenang PKR tiga penggal berturut-turut sejak 2008.

Pada PRU14, Danyal mengalahkan calon Barisan Nasional dari MIC, Morgan Velayatham dan calon PAS, Mahfus Roslan dengan majoriti 17,710 undi.

Kawasan Parlimen Port Dickson merupakan sebuah kerusi campuran dengan pengundi Melayu 43%, Cina 33% dan India 22%. – 12 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen