Mahkamah tolak permohonan bekas MB Negeri Sembilan bantah petisyen Dr Streram


MAHKAMAH Khas Pilihan Raya Seremban hari ini menolak permohonan bantahan awal Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Dr S. Streram, calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di kawasan Parlimen Rembau.

Hakim Azimah Omar membuat keputusan itu setelah menolak lapan bantahan yang dikemukakan Mohamad, selaku responden pertama.

“Mahkamah tidak berhasrat untuk memberi alasan terperinci (kenapa bantahan ditolak).

“Setelah meneliti dan menimbang segala afidavit yang ada dan hujahan bertulis responden pertama, mahkamah mendapati ketidakpatuhan yang timbul tidak mempunyai merit dan alasan tersebut tidak mewajarkan responden pertama untuk membatalkan petisyen pilihan raya ini.

“Oleh itu, mahkamah menolak permohonan responden pertama untuk membatalkan petisyen pilihan raya bagi DUN Rantau,” katanya semasa membuat keputusan bantahan awalan yang difailkan Mohamad pada 8 Ogos lepas.

Antara bantahan yang dikemukakan pihak Mohamad adalah isi kandungan petisyen tidak menyatakan apa kesalahan-kesalahan undang-undang yang dibuat responden pertama di bawah Akta Pilihan Raya 1954.

Selain itu, pihak responden mendakwa pempetisyen juga telah gagal mematuhi kehendak Kaedah 15 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 berdasarkan alasan-alasan bahawa Notis Pengemukaan Petisyen, tidak diserahkan secara terus kepada responden pertama.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan penuh akan bermula pada 12, 13, 14, 27 dan 28 Sept serta 1 dan 2 Okt depan untuk ketiga-tiga responden. 

Mohamad yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan diwakili lima peguam iaitu Hafarizam Harun, Syed Faisal Syed Abdullah, Abu Bakar Isa Rahmat, Yazid Mustaqim dan Iqhmal Syafiq Azim.

Sementara itu, Dr Streram diwakili empat peguam iaitu Hanif Kathri Abdulla, Muhammad Rafique Rashid Ali, GP Sreekanth  dan S Sathia. 

Dr Streram dalam petisyennya menamakan Mohamad sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau Amino Agus reponden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.

Pakar bius itu selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu pada 23 Mei lalu untuk menuntut perintah supaya satu pilihan raya kecil diadakan dengan serta-merta setelah mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dr Streram yang didakwa gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan itu di Rembau, mendakwa SPR telah gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan.

Pada 28 April lalu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau. – Bernama, 29 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen