BEKAS ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah hari ini membidas kenyataan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang mengkritik keputusannya untuk memberi laluan kepada bakal presiden PKR, Anwar Ibrahim bertanding di situ.
Menurut bekas pegawai kanan tentera laut itu, Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji silap apabila berkata beliau tidak lagi akan mewakili veteran tentera apabila kerusi Port Dickson diberi kepada Anwar.
“Saya lebih banyak berurusan dengan veteran berbanding orang lain di negara ini, beliau silap,” kata Danyal pada sidang akhbar hari ini.
Tambah beliau, veteran tentera akan memperoleh banyak manfaat apabila Anwar yang bakal jadi perdana menteri mewakili mereka.
“Saya tak rugi apa-apa, saya bukannya askar upahan,” katanya.
Salam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Arshad berkata veteran menentang langkah yang diambil Danyal itu kerana beliau mewakili “suara” veteran di Parlimen.
“Pimpinan PKR mesti fahaman kehadiran veteran tentera di parlimen disokong oleh ribuan veteran dan dilihat sebagai wakil mereka, suara yang boleh diharapkan atas hal-hal melibatkan veteran,” katanya.
Arshad juga membayangkan keputusan Anwar bertanding di Port Dickson, sekiranya benar, boleh jadi senjata makan tuan kerana mungkin berdepan dengan undi protes daripada tentera dan bekas tentera. – 12 September, 2018.
Komen