PELBAGAI lapisan ahli berpendapat, Anwar Ibrahim tidak patut tergesa-gesa untuk kembali ke Parlimen kerana bimbang orang tidak berminat dengan satu lagi pilihan raya kecil (PRK).
Jumlah keluar mengundi merosot dalam tiga PRK yang diadakan lepas PRU14 dan mereka bimbang keadaan sama berlaku apabila kerusi Port Dickson dikosongkan untuk Anwar.
Pemimpin yang enggan dinamakan berpendapat, PKR sebaliknya perlu fokus pada pemilihan parti pada bulan ini, selain memberi ruang kepada Kabinet untuk menstabilkan pentadbiran.
“Keadaan rakyat di PRK saya terlibat memang orang tak berminat untuk keluar mengundi. Lagi pun sekarang kita patut fokus pada pemilihan parti.
“Sebelum ini di dua PRK saya terlibat, kita berkempen berhari-hari orang tak datang. Orang parti yang turun meramaikan kempen.
“Kita nak tampilkan bakal perdana menteri, jadi rekod kehadiran (pengundi) tak bagus untuk imej beliau,” kata seorang Adun wanita Selangor kepada The Malaysian Insight.
Tiga PRK diadakan berturut-turut di Selangor selepas dua dari Adun PKR meninggal dunia akibat kanser dan seorang Adun DAP maut dalam kemalangan jalan raya.
Jumlah keluar mengundi ketiga-tiga DUN iaitu Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong tidak mencapai 50%.
Mengulas perkara itu, pemimpin Pemuda PKR di Selangor berkata mereka bimbang rakyat melihat Anwar rakus untuk menjadi perdana menteri kerana terburu-buru untuk menyertai Parlimen.
“Kena lihat sentimen pengundi juga. Soalnya tidak ada cakap-cakap umum di bawah (rakyat) yang mengalu-alukan PRK dilakukan sekarang agar Anwar kembali ke Parlimen.
“Saya fikir itu kebimbangan utama Anwar dan penyokongnya,” kata sumber yang enggan dinamakan.

Sumber Pemuda PKR lain pula menjangka PRK itu akan menimbulkan kemarahan rakyat kerana melibatkan kos yang tinggi kerana melibatkan kawasan Parlimen.
“Rakyat melihat kita terlalu rakus nak kuasa. Kita dalam keadaan memperbaiki ekonomi maka untuk adakan PRK untuk Anwar masuk kurang sesuai.
“Bukan masalah tak mahu Anwar ke Parlimen, cuma waktu belum sesuai,” kata pemimpin muda itu.
Seorang lagi ahli parti berpendapat, rakyat perlukan tempoh bertenang daripada aktiviti politik dan kerajaan Pakatan perlu fokus mentadbir Putrajaya dan memperkukuhkan ekonomi.
“Kita kena bagi rakyat dan ahli parti berehat terutamanya orang yang mengundi di kawasan yang dikosongkan,” kata seorang setiausaha cabang yang enggan dinamakan.
Namun berbeza bagi senator Yusmadi Yusoff yang berkata Anwar perlu segera kembali ke Parlimen selepas hak beliau berpolitik dinafikan selama 20 tahun.
Beliau berkata kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri bukan saja dinanti-nantikan rakyat Malaysia tetapi pemimpin luar negara.
“Anwar dinafikan hak politiknya secara tak terhormat. Kita kena ingat orang gunakan segala kekuatan bawah kepimpinan untuk nafikan hak. Dan tiba masa rakyat Malaysia untuk memberi keadilan kepada Anwar.
“Kita faham ada reaksi bercampur tetapi perkara ini saya ingin katakan untuk Anwar kembali ke Parlimen perlu dilihat lebih menyeluruh.
“Ia bagi memastikan kesinambungan politik (selepas PRU) pada 9 Mei terjamin,” katanya yang merupakan pegawai hal ehwal antarabangsa kepada presiden PKR itu.
sementara itu, seorang penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM) berkata PRK melibatkan Anwar tidak boleh disamakan dengan tiga PRK yang lalu.
Anwar dilihat tokoh penting yang dianiaya dan penyertaan beliau ke parlimen dialu-alukan, kata Dr Awang Azman Awang Pawi.
“PRK ini sangat penting kerana akan menentukan dan memilih bakal PM negara sebagaimana yang dipersetujui dalam Pakatan Harapan bahawa selepas Dr Mahathir Mohamad ialah Anwar,” katanya.
Beliau berkata penyokong mengalu-alukan Anwar kembali ke Parlimen selepas diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana menganggap pemimpin tersebut dianiaya secara politik.
Malah, bekas ketua pembangkang itu juga kini perlu menyegerakan proses menjadi ahli Parlimen kerana dikhuatiri usaha itu akan disabotaj.
“Semakin lambat Anwar kembali ke Parlimen semakin dibimbangkan akan berlaku sabotaj politik dan sebagainya yang boleh halangnya jadi ahli Parlimen,” katanya.
Beliau menjangka, Anwar akan dapat hadir pada pertengahan sidang Parlimen seterusnya yang akan berlangsung pada 15 Oktober hingga 11 Disember.
PKR hari ini mengumumkan Anwar akan bertanding kerusi Parlimen Port Dickson. – 12 September, 2018.
Komen