PH, BN merosot di Seri Setia dan Balakong


Awang Azman Awang Pawi

DUA pilihan raya kecil (PRK) serentak semalam perlu dijadikan muhasabah diri buat pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). PRK DUN Balakong mencatat sejarah apabila hanya 43% saja turun mengundi, yang terendah dalam sejarah PRK.

Mengapa pengundi seolah-olah memprotes dan tidak mahu mengundi sedangkan kawasan majoriti Cina bandaran ini merupakan kawasan pengundi celik politik.

Sebelum ini rekod terendah peratusan mengundi dalam PRK ialah dalam PRK DUN Penanti di Pulau Pinang pada 2009, yang mencatatkan cuma 46% keluar mengundi. PRK itu diadakan selepas Adun Penanti Mohammad Fairus Khairuddin merangkap timbalan ketua menteri Pulau Pinang letak jawatan kerana tidak puas hati dengan pemerintahan kerajaan negeri ketika itu.

PRK DUN Seri Setia semalam juga cuma mencatat 44.1% yang turun mengundi. Sebelum ini jumlah turun mengundi di PRK DUN Sungai Kandis ialah 49.4%.

Hakikatnya, pola turun mengundi undi dalam setiap PRK ialah perkara biasa. Namun apabila jumlah yang turun kurang 50% dalam suasana kebangkitan suara rakyat, ini sesuatu yang membimbangkan seolah-olah pengundi tidak berminat menyertai proses demokrasi untuk memilih pemimpin mereka sendiri.

Alasan paling mudah ialah pengundi baru selesai mengharungi pilihan raya yang besar beberapa bulan lepas. Rakyat sudah letih dan lesu dengan suasana kempen dan pilihan raya yang berterusan sedangkan mereka sudah berhempas pulas berkempen pada PRU lalu. Alasan ini mampu menjadi ubat penenang mujarab untuk tidak berfikir lebih jauh lagi.

Hakikatnya, prestasi PH dalam 122 hari ini bukanlah berada di tahap cemerlang dan gemilang. Banyak lagi kelemahan yang perlu PH baiki; manifesto pun belum mampu ditunaikan.

Kritikan netizen terhadap amalan dan perlakuan dalam pentadbiran PH baru-baru ini juga dapat dijadikan ukuran ada perasaan kurang berpuas hati terhadap prestasi PH.

Sikap tidak berpuas hati terhadap prestasi PH tidak pula membawa kepada tekad untuk memilih BN semula. Hal ini berlaku kerana pengundi masih mahu memberikan peluang kepada PH untuk membaiki kelemahan. Hal ini kerana terdapat tempoh empat tahun untuk menilai dan adalah tidak adil membandingkan 61 tahun pemerintahan BN dengan kurang enam bulan pemerintahan PH.

Tetapi peratusan turun mengundi 87.8% merudum kepada 43% di DUN Balakong misalnya, perlu ditafsirkan secara politik. Sama juga penurunan 84.18% kepada 44.1% di Seri Setia.

Ia bukan saja perlu ditafsir sebagai faktor cuti panjang empat hari dan rakyat mengambil peluang untuk keluar bercuti bersama keluarga. Atau, hanya menyalahkan faktor cuaca yang menentukan untuk turun atau sebaliknya. 

Mengapakah rakyat yang berhak mengundi seolah-olah cuba mengelak untuk turun mengundi dengan bercuti atau menyalahkan faktor cuaca?

Sesetengah pengundi begitu yakin PH akan menang. Ada yang tawar hati untuk mengundi akibat sikap tersebut, ada juga berpendapat parti mana pun menang tetap tidak mengubah hakikat Selangor tetap sebuah kerajaan negeri PH dan Putrajaya tetap milik kerajaan PH.

Maknanya, PRK tidak dapat landskap politik negeri dan persekutuan dan ia bukanlah pilihan raya umum yang dapat mengubah landskap politik negeri dan negara. Sebab itu, mereka berpendapat lebih baik menumpukan kehidupan seharian daripada tidak dapat mengubah landskap politik semasa.

Hakikatnya, bukan PH terlalu kuat untuk ditewaskan, akan tetapi BN dan MCA sendiri yang lemah. Pencapaian pembangkang semakin merosot meskipun bergabung.

Sekiranya gabungan ini berjaya sudah pasti jumlah yang akan turun mengundi tinggi dan mampu menggugat calon PH namun ini tidak berlaku. Ternyata kerjasama PAS Umno kurang ampuh dan masih lagi bersifat malu-malu.

Daripada segi pimpinan di peringkat tinggi PAS-Umno tidak ada masalah mengadakan kerjasama dua parti ini. Namun di peringkat umbi masih lagi saling meragui, tidak percaya sesama mereka kerana sudah 41 tahun PAS dan Umno menjadi musuh politik.

Akibatnya, ramai pengundi akar umbi membuat protes dengan tidak turun mengundi. Umno patut membawa PAS ke arah pendekatan yang lebih moderat dan bukanlah PAS yang membawa Umno ke pendekatan yang akhirnya nanti hanya mampu berkongsi negeri Pantai Timur saja.

Umno dan PAS juga belum dilihat sebagai pembangkang yang ampuh dengan fakta dan penyelidikan apabila berdepan dengan kerajaan PH.  Sudah tiba masanya,  gerakan kepembangkangan ini digerakkan secara sistematik dan tidak semata-mata latihan demonstrasi dan latihan perang saraf sahaja.

PRK Balakong pula ternyata tidak memberikan impak besar terhadap MCA walaupun guna logo sendiri. Selagi MCA tidak berupaya membuktikan ia lebih baik daripada DAP dalam pelbagai aspek selagi itulah MCA terus ditolak. Hakikatnya sejarah kemenangan MCA disebabkan oleh undi Melayu.

Ternyata antara pembangkang dan PH masing-masing mempunyai beban politik yang tersendiri.  Kemenangan PH perlu diraikan dengan kesedaran untuk membaiki apa-apa kekurangan dalam pentadbiran mereka.

Manakala di pihak PAS dan Umno perlu muhasabah dan melihat dalam kerangka analisis keseluruhan untuk menapak dengan lebih baik lagi. MCA pula perlu menerima hakikat tidak dapat bersendirian untuk menang dalam dunia politik moden ini. 

Rakyat bukanlah tidak peka akan hak mengundi dan amalan menyuburkan amalan demokrasi. Hakikatnya, rakyat mahukan setiap parti mampu menawarkan kualiti calon, kepimpinan parti dan pentadbiran yang lebih baik lagi. Rakyat sudah muak ahli politik asyik terus bersengketa dan berpolitik sepanjang masa!

Undi sangat berharga dan tidak layak diberikan kepada sesiapa sahaja secara murah dan mudah. Maka, berikanlah keyakinan kepada pengundi dengan membuktikan integriti dalam mana-mana parti dan kerajaan. Atau, akan terus berdepan PRK dengan keputusan peratusan rendah! – 9 September, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen