Surat derma Najib cetus lebih banyak persoalan, kata Tony Pua


Bede Hong

Najib Razak tidak akan boleh meyakinkan sesiapa saja dengan 'bukti' yang tidak lengkap yang akan menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan, kata Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

SURAT-surat yang didedahkan Najib Razak yang didakwanya sebagai bukti bahawa beliau menerima derma sebanyak AS$100 juta (RM400 juta) dari keluarga diraja Arab Saudi pada 2011 hanya mencetuskan lebih banyak persoalan berbanding memberi jawapan, kata Tony Pua.

Dalam hantaran Facebook semalam, Najib berkata beliau menerima derma dari almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz as-Saud pada 2011 “untuk membantu” Umno bertahan, sekiranya berlaku kebangkitan rakyat ala Arab Spring di Malaysia.

Bagaimanapun, Pua yang juga ahli Parlimen Damansara mempersoalkan mengapa surat itu didedahkan sekarang.

“Kenapa tunjuk surat ini sekarang?” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

“Bolehkah surat-surat ini digunakan di mahkamah?”

Najib berkata akan mendedahkan sumber derma RM2.6 bilion itu tidak lama lagi sama ada menerusi Facebook atau sidang akhbar. Beliau juga berkata akan menjelaskan pelbagai lagi sumbangan yang diterimanya sejak 2011. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Dalam hantaran Facebooknya, Najib menunjukkan tiga dokumen yang didakwa dari Raja Abdullah yang tertera perkataan “Recognition of Contribution to the Islamic World (Penghargaan Sumbangan untuk Dunia Islam)” bertarik 1 Februari 2011.

Dua lagi dokumen adalah penyata transaksi kewangan bertarikh 24 Februari 2011 dan 25 November tahun yang sama.

Dokumen bagi pemindahan wang SWIFT pada 2011 itu menunjukkan AS$20 juta telah dipindahkan dari akaun Putera Faisal Turki as-Saud dan baki AS$80 juta dari akaun Kementerian Kewangan Arab Saudi.

“Kenapa putera-putera ini tidak tampil ke depan untuk nyatakan yang ini adalah derma?” soal Pua yang juga merupakan pegawai khas di Kementerian Kewangan.

Tambah beliau, Najib tidak akan mampu menyakinkan rakyat bahawa semuanya adalah derma semata-mata.

“Beliau tidak akan boleh meyakinkan sesiapa saja dengan ‘bukti’ yang tidak lengkap yang menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.”

Semalam, Najib menulis akan mendedahkan sumber derma RM2.6 bilion itu tidak lama lagi sama ada menerusi Facebook atau sidang akhbar. Beliau juga berkata akan menjelaskan pelbagai lagi sumbangan yang diterimanya sejak 2011. – 11 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen