MASZLEE Malik akan terus mempertahankan dasar pintu terbuka yang mahu dibawanya selaku Menteri Pendidikan dan berpegang teguh ikrar beliau untuk memelihara kebebasan bersuara mahasiswa dan juga autonomi universiti, di tengah-tengah kemelut pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Maszlee dalam satu kenyataan berkata beliau komited berjumpa dengan aktivis mahasiswa yang membantah pelantikannya ke UIAM itu pada tarikh dan tempat yang katanya, sudah dipersetujui bersama.
Tarikh dan tempat tersebut, yang bagaimanapun tidak disebut dalam kenyataan itu, telah dimaklumkan dan dipersetujui oleh wakil mahasiswa berkenaan, Asheeq Ali Sethi Alivi, katanya.
“Justeru, perjumpaan telah ditetapkan untuk diadakan pada 12 September 2018 jam 6.30 petang dan telah pun dipersetujui oleh saudara Asheeq selaku wakil kumpulan tersebut, semalam (9 September 2018),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
“Saya berharap perjumpaan itu dapat membuka ruang kepada mereka untuk bertemu dengan saya dan juga bagi saya untuk mendengar suara mereka.”
Asheeq bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, pertemuan tersebut sememangnya telah dipersetujui tetapi mereka tidak bersetuju dengan lokasi perbincangan yang telah diubah.

Pertemuan itu pada asalnya dimaklumkan akan berlangsung di pejabat menteri di Putrajaya, namun semalam mereka diberitahu tempatnya dipindahkan ke sebuah restoran di Kuala Lumpur, kata pelajar tahun akhir jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Pegawai di pejabat Maszlee juga mengesahkan pertemuan itu dipindahkan ke lokasi lain di luar pejabat kementerian di Putrajaya kerana menyesuaikan jadual menteri yang akan berada di ibu negara lusa.
Awal pagi Sabtu, Asheeq, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pagar masuk utama Parcel E, yang menempatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan.
Asheeq dan Nurizzah dibebaskan selepas ditahan hampir enam jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
Bantahan itu dibuat bagi mendesak Maszlee meletak jawatan sebagai Presiden UIAM kerana mereka enggan campur tangan politik dan mengekalkan autonomi dalam universiti.
Selepas dibebaskan, Mazslee memaklumkan mahu bertemu dengan kumpulan mahasiswa itu Rabu ini untuk mendengar sendiri pandangan mereka.
Ini kerana beliau tidak dapat berbuat demikian seperti yang dituntut kerana ketika tunjuk perasaan itu berlangsung, Maszlee beliau berada di Sarawak untuk lawatan kerja. – 10 September, 2018.
Komen