Pertemuan diubah tempat, aktivis mahasiswa belum pasti jumpa Maszlee


Asheeq Ali Sethi Alivi berkata mereka semalam diberitahu tempat pertemuan dengan menteri pendidikan dipindahkan ke sebuah restoran di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2018.

AKTIVIS mahasiswa yang membantah pelantikan Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) belum membuat keputusan akan berjumpa atau tidak dengan menteri pendidikan itu Rabu ini, selepas lokasi pertemuan ditukar bukan diadakan di pejabat kementerian.

Wakil kumpulan aktivis itu, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata pertemuan itu pada asalnya dimaklumkan akan berlangsung di pejabat menteri di Putrajaya, namun semalam mereka diberitahu tempatnya dipindahkan ke sebuah restoran di Kuala Lumpur.

“Kalau perbincangan ini adalah rasmi, buatlah di kementerian. Kalau (menteri) kata mengamalkan dasar pintu terbuka, kita buatlah secara terbuka.

“Saya juga akan panggil media, saya akan dedahkan kepada semua apa yang diperkatakan dalam mesyuarat,” kata Asheeq kepada The Malaysian Insight.

Asheeq berkata selain cadangan pertemuan yang disebut oleh Maszlee dalam kenyataan medianya pada Sabtu lepas, pihaknya juga dihubungi melalui WhatsApp oleh seorang pegawai menteri itu.

The Malaysian Insight juga difahamkan kumpulan mahasiswa itu akan berbincang petang ini sama ada mahu menerima “jemputan” pertemuan itu atau tidak.

Sementara itu, seorang pegawai di pejabat menteri pendidikan mengesahkan pertemuan itu dipindahkan ke lokasi lain di luar pejabat kementerian di Putrajaya kerana menyesuaikan jadual menteri pada Rabu ini.

Awal pagi Sabtu, Asheeq, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pagar masuk utama Parcel E, yang menempatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan.

Asheeq dan Nurizzah dibebaskan selepas ditahan hampir enam jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Sementara itu, Nurizzah berkata perbincangan dengan Maszlee sepatutnya diadakan di bangunan kementerian kerana mereka mahu membincangkan perkara yang lebih besar dan bukan setakat pelantikannya sebagai presiden UIAM.

“Perjuangan autonomi ini bukan perjuangan kita saja, tapi seluruh mahasiswa. Walaupun mungkin kumpulan kami kecil, minoriti, itu tidak kisah kerana kami perjuangkan isu yang besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Asheeq, beliau secara jujurnya berharap Mazslee akan menolak pelantikan sebagai presiden UIAM dan menarik balik semua lantikan politik dalam pentadbiran universiti.

Kelmarin, selepas kedua-dua aktivis itu dibebaskan, Maszlee dalam satu kenyataan di Facebook menulis beliau akan menyiasat lanjut penahanan dua pelajar itu.

Beliau juga memaklumkan mahu bertemu dengan kumpulan mahasiswa itu Rabu ini untuk mendengar sendiri pandangan mereka, selepas tidak dapat berbuat demikian seperti yang dituntut kerana ketika tunjuk perasaan itu beliau berada di Sarawak untuk lawatan kerja. – 10 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen